Penduduk Gaza bertambah sengsara

Penduduk Palestin berebut-rebut untuk mendapatkan guni tepung yang diagihkan agensi bantuan di tengah Genting Gaza pada bulan lalu.
Penduduk Palestin berebut-rebut untuk mendapatkan guni tepung yang diagihkan agensi bantuan di tengah Genting Gaza pada bulan lalu.
A
A
A

DEIR AL-BALAH - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengambil keputusan drastik untuk menggantung penghantaran bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza melalui lintasan Karem Abu Salem (Kerem Shalom) ke utara Genting Gaza.

Pengumuman itu dibuat susulan sekatan ketat yang terus dilaksanakan rejim Zionis ketika perang genosid di wilayah tersebut berlarutan selama 14 bulan.

Menerusi catatan di platform X pada Ahad, Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini memaklumkan mereka mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi keselamatan yang berisiko membahayakan kakitangan agensi bantuan.

“Laluan tunggal ke utara Gaza itu sudah tidak selamat sejak beberapa bulan lalu. Pada 16 November lalu, konvoi bantuan telah diserang geng bersenjata. Pada Sabtu, kami juga cuba menghantar trak makanan menggunakan jalan sama, namun tidak sempat sampai kepada penduduk Palestin.

Israel cuba mengaburi mata media antarabangsa dengan menunjukkan pusat agihan bantuan di koridor Kerem Shalom bersempadan Gaza pada Khamis lalu.
Israel cuba mengaburi mata media antarabangsa dengan menunjukkan pusat agihan bantuan di koridor Kerem Shalom bersempadan Gaza pada Khamis lalu.

“Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan staf agensi bantuan terletak di tangan Israel selaku kuasa pendudukan.

"Mereka perlu memastikan aliran bantuan ke Gaza dapat dilaksanakan dengan lancar selain mengelakkan serangan ke atas kakitangan kami,” katanya yang sekali lagi menuntut gencatan senjata segera bagi memastikan penghantaran bantuan kepada penduduk Gaza yang semakin sengsara menjelang ketibaan musim sejuk.

Langkah itu bermakna tiada penghantaran bantuan akan dibuat ke enklaf berkenaan yang ketika ini bergantung penuh dengan belas ihsan agensi antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

PETANDA BURUK

Tindakan itu akan memburukkan lagi krisis kebuluran memandangkan kebanyakan penduduk Palestin terpaksa menahan lapar kerana ketiadaan makanan.

“Keputusan sukar ini dibuat ketika keadaan di Gaza semakin teruk. Penghantaran bantuan kemanusiaan sepatutnya tidak berdepan ancaman bahaya seperti sekarang,” ujarnya lagi.

Berdasarkan data rasmi UNRWA, hanya 65 trak bantuan sehari diberi akses ke Gaza pada bulan lalu berbanding 500 buah secara purata sebelum peperangan itu meletus.

Kawasan pekarangan sekolah kendalian UNRWA yang menjadi tempat berlindung ribuan penduduk Palestin.
Kawasan pekarangan sekolah kendalian UNRWA yang menjadi tempat berlindung ribuan penduduk Palestin.

Difahamkan, tindakan Zionis melancarkan serangan dron ke atas kenderaan milik World Central Kitchen (WCK) hingga meragut lima nyawa termasuk tiga pekerja bantuan agensi berkenaan di bandar selatan Khan Yunis turut menjadi antara sebab keputusan penggantungan bantuan itu dibuat.

Sebagai respons terhadap keputusan itu, Presiden badan amal, Medicins du Monde, Jean-Francois Corty memberi amaran ia adalah petanda buruk dan tragis terhadap 'malapetaka' yang sedang berlaku di Gaza.

Sementara itu, Ketua Misi Doctors Without Borders di Baitulmaqdis, Claire Nicolet menyelar keputusan terburu-buru itu memandangkan UNRWA merupakan tulang belakang bekalan bantuan penting kepada penduduk Palestin.

Pada Jumaat lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Gaza sudah terjerumus ke dalam anarki dengan kejadian rompakan yang semakin berleluasa dan insiden pemerkosaan di pusat perlindungan. - Agensi

INFO:

>Pada April lalu, sekurang-kurangnya tujuh pekerja bantuan yang menaiki kenderaan tertera dengan jelas tulisan World Central Kitchen (WCK) terkorban dalam serangan di Deir al-Balah.

>Data PBB menunjukkan kira-kira 333 staf agensi bantuan terbunuh sejak perang genosid di Gaza tercetus pada 7 Oktober 2023 dan seramai 243 daripadanya kakitangan UNRWA.

>Ketika ini, lebih 415,000 penduduk Palestin di mendapatkan perlindungan di sekolah kendalian UNRWA di Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!