Taktikal serangan balas berjaya perangkap Selangor
TAKTIKAL serangan balas pantas nyata berkesan untuk Sri Pahang FC apabila berjaya menundukkan Selangor FC dalam aksi Pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui taktikal tersebut digunakannya selain tidak bermain permainan terbuka melihatkan kualiti dimiliki Selangor yang boleh menghukum mereka.
Malah, Fandi juga mendedahkan pasukan itu berdepan masalah ketiadaan padang dan terpaksa berlatih di gelanggang futsal dan padang sintetik.
"Syukur hari ini pemain sangat berdisiplin, rancangan kita ke sini untuk tidak bermain permainan terbuka dan strategi untuk buat serangan balas pantas.
"Ia kerana kualiti Selangor lebih baik dari kita, jadi tak boleh main terbuka. Lagi pun, kita juga ada masalah minggu ini kerana tiada tempat latihan dan berlatih di gelanggang futsal dan padang sintetik. Bila sampai sini (Stadium MBPJ) baru dapat padang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sri Pahang berjaya menyingkirkan Selangor pada aksi pusingan 16 itu dengan agregat 3-2 sekali gus menempah pertemuan dengan Perak FC di pusingan suku akhir.
Dalam pada itu, beliau juga menghargai semangat juang yang ditunjukkan pemain yang tidak gentar walaupun berdepan pasukan kuat seperti Selangor.
"Jadi, kelebihan kita hari ini semangat berjuang dan kita bersatu walaupun kita tahu kelebihan kepada pasukan Selangor yang mendominasi bola.
"Sebab itu kita lebih banyak berada di belakang dan mengharapkan kelajuan di bahagian sayap terutama di sayap kiri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!