Masa hujan pun pandu bas, lori macam di litar lumba
SABTU lepas, Merak Jalanan ke Ipoh atas urusan keluarga. Alhamdulillah cuaca pada sebelah pagi semasa dalam perjalanan ke ibu negeri Perak itu amat baik dan cerah sekali gus memudahkan perjalanan.
Bagaimanapun, selari dengan musim tengkujuh yang melanda negara pada masa kini, perjalanan pulang Merak Jalanan pada lewat petang diiringi hujan sepanjang lebih 200 kilometer ke Kuala Lumpur.
Merah Jalanan memang tidak gemar memandu laju di lebuh raya apatah lagi ketika hujan. Takut gagal mengawal kenderaan jika ada sesuatu yang buruk terjadi misalnya tayar pecah.
Merak Jalanan biasanya hanya memandu sekitar 100 kilometer sejam (km/j) jika cuaca baik dan 80 km/j jika hujan.
Hanya sesekali berada di lorong kanan jika perlu memotong, bagaimanapun Merak Jalanan lebih suka memandu di lorong kiri atau tengah. Jiwa lebih tenang sebegini.
Bagaimanapun, acap kali Merak Jalanan melihat bas dan lori di lebuh raya dipandu dengan laju melebihi had laju 90 km/j yang sepatutnya dipatuhi pemandu.
Had laju 90 km/j bagi kenderaan berat di lebuh raya ini sesuai ketika jalan kering, namun ketika hujan kalau boleh kurangkan sikit kelajuan.
Bukan ketika hujan makin laju dipandu hingga melebihi 110 km/j pula. Bukan sekadar laju, kenderaan berat ini juga biasanya berada di lorong paling kanan dan tidak teragak-agak memberi lampu tinggi kepada kenderaan di hadapan meminta diberi laluan walaupun terdapat papan tanda kenderaan berat dilarang memotong.
Tak tahulah kenapa pemandu bas dan lori ini gemar memandu dengan laju, mungkin tak tahan nak kencing atau ada nyawa gantian di rumah.
Namun yang amat dikesali jika ada nyawa lain yang terkorban ekoran sikap pemandu sebegini.
Paling tak bertanggungjawab, salahkan masalah brek dan jalan licin jika berlaku kemalangan sedangkan ia boleh dielak jika kenderaan berat itu dipandu secara berhemah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!