Zuki Traktor nekad redah arus deras selamatkan warga emas

Mohd Zaki bertugas sebagai pemandu traktor Felcra Bukit Kepah lebih 10 tahun lalu.
Mohd Zaki bertugas sebagai pemandu traktor Felcra Bukit Kepah lebih 10 tahun lalu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pemandu traktor nekad meredah arus deras setinggi hampir dua meter demi menyelamatkan seorang wanita warga emas bersama anak dan cucunya yang nyaris dihanyutkan kepala air.

Mohd Zaki Sulong, 50, atau lebih dikenali dengan gelaran Zuki Traktor berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang dekat Felcra Kampung Bukit Kapah di sini pada Jumaat lalu.

Menurutnya, ketika itu dia bersama lapan ahli keluarga termasuk isteri dalam perjalanan pulang ke Kampung Padang Setar, Hulu Sat di sini setelah rumahnya di situ dinaiki air.

“Ketika dalam perjalanan pulang dengan menaiki traktor, kami terserempak dengan kereta jenis Proton Wira yang tersekat di tengah jalan ketika cuba meredah banjir.

“Saya segera membantu menyelamatkan warga emas itu dan dalam masa yang sama anak lelakinya berjaya keluar dari kenderaan tersebut menuju ke tempat selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata, selepas diselamatkan, warga emas terbabit tiba-tiba meluru semula ke arah kenderaan yang masih tersangkut dalam banjir untuk menyelamatkan seorang cucunya yang berusia dua tahun.

Mohd Zaki menunjukkan kereta Proton Wira yang masih tersadai di lokasi kejadian.
Mohd Zaki menunjukkan kereta Proton Wira yang masih tersadai di lokasi kejadian.

“Ketika saat getir itu, terdapat arus deras (kepala air) yang melanda sehingga kereta dinaiki mereka dihanyutkan air sejauh kira-kira 150 meter.

Artikel Berkaitan:

“Waktu itu, anak saya, Muhammad Amrullah Mohd Zaki, 19, segera terjun ke air untuk bersama-sama membantu menyelamatkan mereka berdua,” ujarnya.

Mohd Zaki berkata, walaupun terpaksa berulang-alik sebanyak enam kali demi menyelamatkan mangsa, dia bersyukur kerana sempat berpaut pada dahan kayu dan kesemua mangsa berjaya dibawa ke daratan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!