Wanita tertinggi bertemu dengan wanita terpendek di dunia
LONDON - Wanita tertinggi dan terpendek di dunia berjaya dipertemukan semasa sesi minum tea di London sempena sambutan Guiness World Record (GWR) kali ke-20, baru-baru ini.
Dailymail melaporkan pertemuan Rumeysa Gelgi, pereka laman web berasal dari Turkiye yang berusia 27 tahun manakala pelakon India, Jyoti Amge dilakukan di hotel The Savoy, London.
Dalam pertemuan julung kali berlaku, Gelgi sempat bergurau dengan menyatakan 'mereka sukar bertentang mata' kerana perbezaan ketinggian. Namun, mereka sebenarnya mempunyai banyak persamaan.
Amge, 30, dinobatkan wanita paling pendek iaitu mempunyai ketinggian 62.8 sentimenter (cm) atau 2 kaki 1 inci, manakala Gelgi memegang GWR sebagai wanita tertinggi di dunia pada 215.16 cm atau 7 kaki 1 inci.
Difahamkan, Gelgi menghidap penyakit jarang ditemui yang digelar sindrom Weaver iaitu pembesaran berlaku dengan cepat serta kecacatan rangka. Kes dialaminya adalah yang ke-27 yang pernah didiagnosis dan pertama di Turkiye.
Oleh sebab itu, dia terpaksa menggunakan kerusi roda dan hanya boleh berdiri menggunakan alat penyokong kaki untuk jangka masa yang singkat.
Sementara itu, Amge yang pernah memegang watak sebagai Ma Petite dalam siri televisyen Amerika Syarikat bertajuk 'American Horror Story' didapati mempunyai bentuk kerdil yang dipanggil achondroplasia.
"Saya gembira kerana saya telah bertemu dengan Gelgi dan dia sangat baik hati dan saya berasa sangat selesa bercakap dengannya," katanya yang kini menjadi model dan pelakon yang berasal dari Nagpur, Maharashtra, India.
Pasangan itu telah diberi penghormatan sebagai ikon GWS dalam edisi ulang tahun ke-70 buku itu.
Semasa majlis tersebut, GWS menampilkan ikonnya lain termasuk Diana Armstrong, wanita dengan kuku terpanjang, Sultan Kosen, lelaki tertinggi di dunia dan orang kuat yang kurang upaya, Dave Walsh dalam Rekod Dunia Guinness 2025.
Ketua editornya Craig Glenday berkata GWS sentiasa meraikan perbezaan dengan menghimpunkan dua wanita ikonik yang menakjubkan ini di mana mereka boleh berkongsi perspektif mereka tentang kehidupan antara satu sama lain dan juga dengan kami. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!