Mahu tambah pendapatan, tapi rugi RM123,780
BATU PAHAT - Seorang peniaga berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM123,780 lesap akibat terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan yang ternyata tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, wanita berusia 40 tahun itu telah tertarik dengan tawaran kerja sambilan dengan keuntungan tinggi yang ditawarkan melalui aplikasi Facebook.
Katanya, mangsa telah diminta untuk membeli beberapa barangan daripada laman web yang telah disediakan dan dijanjikan keuntungan sebanyak 30 peratus setelah membeli barangan melalui laman web terbabit.
“Antara Khamis hingga Selasa lalu mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM123,780 kepada tujuh akaun bank berbeza.
“Setelah itu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran lagi bagi mendapatkan keuntungan, namun mangsa tidak mengikut arahan daripada suspek kerana mula mengesyaki dirinya telah ditipu.
“Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Isnin,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang ditawarkan di media sosial yang menjanjikan keuntungan yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!