[VIDEO] Hentikan serta-merta budaya dera di UPNM - Agong
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya budaya penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.
Seri Paduka Baginda dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
"Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
"Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah Sultan Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14 pada Selasa.
Sultan Ibrahim bertitah falsafah UPNM adalah untuk menjadi sebuah universiti utama di rantau ini dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Oleh sebab itu, Seri Paduka Baginda bertitah universiti tersebut turut dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.
"Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini. Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017.
"Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
"Lebih mendukacitakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke
mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius
diambil oleh mana-mana pihak,” titah Sultan Ibrahim.
Pada istiadat konvokesyen itu, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan para graduan bahawa mereka akan mengharungi pelbagai bidang pekerjaan yang lebih mencabar, selain tiada jalan pintas untuk mencipta kejayaan dan semuanya memerlukan usaha keras dan sifat takwa dalam setiap pekerjaan.
Pada masa yang sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka.
"Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dan seorang anak yang sentiasa mengenang jasa serta mendoakan kedua ibu bapanya.
"Sudah tentu kejayaan ini adalah juga berkat doa restu daripada ibu dan bapa, serta usaha daripada tenaga pengajar. Justeru itu, jangan sekali-kali awak semua melupakan jasa dan peranan ibu bapa serta tenaga pengajar,” titah Sultan Ibrahim.
Mengakhiri titah, Yang di-Pertuan Agong mendoakan semoga kedaulatan dan kemakmuran negara akan terus terpelihara daripada sebarang ancaman dan musibah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!