Ikut rapat ambulans: Polis tahan pemandu Honda Civic, kesan penunggang MT-15
SHAH ALAM - Tindakan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta dipercayai bukan ahli keluarga pesakit yang mengekori rapat sebuah ambulans di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang memakan diri sendiri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengesan satu video tular di laman sosial memaparkan sebuah kereta jenis Honda Civic dan motosikal jenis Yamaha MT-15 mengekori sebuah ambulans di Kilometer (KM) 15 lebuh raya tersebut.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 4.40 petang, Ahad dan tindakan kedua-dua individu terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada ambulans tersebut serta pengguna jalan raya lain.
"Ekoran kejadian itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki pemandu Honda Civic sekitar jam 11 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.
"Sementara itu, pihak polis masih giat mengesan penunggang motosikal yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tambahnya, saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memberikan laluan kepada mana-mana kenderaan dalam tugas kecemasan serta tidak mengekori belakang kenderaan tersebut kerana boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
"Pihak polis juga meminta pengguna jalan raya agar sentiasa bekerjasama dan memberikan maklumat kepada pihak polis jika mengesan sebarang kejadian sedemikian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!