Cabaran memancing Bagan Lalang tawar RM53,000

Hadiah wang tunai berjumlah RM53,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad ini.
Hadiah wang tunai berjumlah RM53,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Hadiah wang tunai berjumlah RM53,000 menanti pemenang Pertandingan Memancing Terbuka Selangor di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad ini.

Jurucakap pertandingan, Md Zali Kasran berkata, pertandingan anjuran Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Wak Jali Event Management itu menawarkan hadiah wang tunai kepada juara bagi Kategori Terbuka sebanyak RM15,000, naib juara RM4,000 manakala tempat ketiga RM2,000.

“Bagi pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing menerima RM500, tempat keenam hingga ke-10 (RM300) dan tempat ke-11 hingga ke-100 menerima RM100.

“Penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai bagi spesies belukang dan ikan duri berjumlah RM14,500 serta hadiah tambahan sebanyak RM6,000 bagi peserta yang lahir atau bermastautin di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Md Zali berkata, idea penganjuran acara itu dicetuskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur, Pemodenan Pertanian dan Perladangan, Keterjaminan Makanan dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Tambah beliau, acara tersebut akan bermula dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan program itu adalah kali kedua dianjur oleh UPEN setelah kejayaan penganjuran kali pertama di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang pada 26 Oktober lalu.

Ujarnya, selain hadiah wang tunai, pemancing juga berpeluang membawa pulang 50 hadiah cabutan bertuah termasuk tiga unit televisyen 32 inci.

“Ini merupakan kali pertama pertandingan memancing diadakan di Pantai Bagan Lalang sejak lebih lima tahun lalu. Pantai ini akan ditutup sementara daripada aktiviti mandi-manda sepanjang tempoh pertandingan bagi mengelak berlaku kemalangan dalam kalangan pengunjung pantai.

Artikel Berkaitan:

“Yuran penyertaan sebanyak RM75 untuk satu joran manakala bagi peserta kelainan upaya (OKU), yuran dikenakan RM50.

“Sebarang pertanyaan dan pendaftaran boleh berhubung dengan penganjur di talian 012-2141401 dan 012-6823479,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!