[VIDEO] Kerajaan pertimbang pampasan munasabah bina semula rumah mangsa banjir - PM
KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbangkan pampasan kepada mangsa-mangsa banjir yang kediamannya musnah sepenuhnya, membolehkan mereka membina semula rumah pasca bencana berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan dalam jumlah yang munasabah akan diberi perhatian secara menyeluruh melibatkan mangsa di negeri-negeri terlibat.
"Saya setuju dengan Tumpat, Kalau rumah musnah sepenuhnya, maka kerajaan harus beri pertimbangan untuk bagi ganti rugi yang agak munasabah agar dia boleh bina semula.
"Saya tak boleh beri jumlah secara spesifik di mana setakat ini peruntukan segera hanya RM1 bilion. Kita masih tunggu maklumat secara teliti keseluruhannya.
"Sekarang nampak reda sedikit di Kelantan, Terengganu, tapi sudah membara di Pahang dan unjurkan di Johor akan juga terkesan...jadi kita akan lihat keseluruhannya," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkenaan jumlah bantuan akan diberikan kepada penduduk yang rumahnya tenggelam sepenuhnya dalam kejadian banjir yang sedang melanda.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, pada masa ini, beliau boleh memberi jaminan bantuan segera membabitkan keperluan asas mangsa terlibat.
"Tapi saya bagi jaminan yang segera, seperti makan minum mereka, keperluan asas, membaiki jalan-jalan rosak itu perlu diberikan keutamaan.
"Soal menaikkan taraf jalan negeri ke Persekutuan, saya tunggu laporan KKR (Kementerian Kerja Raya) dan Petra (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air) untuk lihat semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!