Banjir: Jumlah mangsa turun kepada 93,481 pagi ini
SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri berkurangan kepada 93,481 orang setakat 9 pagi, Selasa berbanding 113,872 orang pada 5 petang, Isnin.
Lapan negeri itu ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Perak, Melaka dan Perlis.
Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir menunjukkan pengurangan kepada 56,995 orang di 158 PPS membabitkan lapan jajahan.
Jajahan Pasir Mas merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 28,949 orang di 60 PPS diikuti Tumpat 21,082 orang (47 PPS), Bachok 2,687 orang (13 PPS) dan Kuala Krai 1,409 orang (12 PPS).
Kota Bharu dengan 1,031 orang di 10 PPS, Machang 822 orang (lima PPS), Pasir Puteh 745 orang (tujuh PPS) dan Tanah Merah 270 orang (empat PPS).
Di TERENGGANU jumlah mangsa banjir juga turun kepada 24,980 orang dan Dungun menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 8,009 orang di 30 PPS.
Ini diikuti Kuala Nerus 5,731 orang (17 PPS), Kuala Terengganu 4,368 orang (12 PPS), Besut 3,919 orang (34 PPS), Hulu Terengganu 1,307 orang (22 PPS), Setiu 668 orang (12 PPS), Marang 624 orang (sembilan PPS) dan Kemaman 354 orang (empat PPS).
Jumlah mangsa banjir di KEDAH pula ialah 7,407 orang berbanding 7,512 pada jam 5 petang Isnin, dengan Kota Setar menjadi daerah paling terkesan membabitkan seramai 4,158 orang di 18 PPS.
Empat lagi daerah yang terjejas ialah Kubang Pasu 1,880 orang (11 PPS), Padang Terap 602 orang (empat PPS), Pokok Sena 560 orang (tiga PPS) dan Sik 209 orang (empat PPS).
Begitu juga di PERLIS jumlah mangsa turun kepada 69 orang di satu PPS di Arau berbanding Isnin petang yang merekodkan seramai 233 mangsa.
Di PERAK, seramai 638 mangsa banjir melibatkan empat daerah iaitu Kinta (391), Hilir Perak (89 ), Kampar (69), Perak Tengah (48) dan Larut, Matang serta Selama (41).
Di MELAKA pula, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 161 orang di dua PPS di Jasin.
Bagaimanapun, PAHANG mencatatkan peningkatan seramai 1,850 mangsa dengan tiga daerah terlibat berbanding Isnin petang iaitu 1,670 mangsa.
JOHOR juga masih berlaku pertambahan mangsa banjir menjadikan jumlah terkini seramai 1,053 orang di dua daerah yang terkesan iaitu Segamat dengan 908 mangsa (18 PPS) dan Tangkak 130 mangsa (dua PPS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!