MTL: Bekalan ikan di Pahang masih mencukupi
KUANTAN - Bekalan ikan di Pahang dijamin mencukupi sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 5 November lalu sehingga Mac tahun hadapan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, ia berdasarkan data pengeluaran ikan merangkumi perikanan tangkapan laut, akuakultur dan perikanan darat sungai ialah 136,853 tan metrik (TM) yang bernilai RM1.32 bilion pada tahun 2023.
"Dari segi permintaan dengan mengambil kira kira-kira 1.7 juta penduduk di Pahang, penggunaan ikan adalah sekitar 44.7 kilogram (kg) (bagi setiap isi rumah) setiap bulan.
"Melalui pengiraan, terdapat lebihan bekalan sebanyak 60,863 TM. Jika dibahagikan mengikut bulan, lebihan ini berjumlah 5,071 TM setiap bulan, yang boleh dipasarkan ke luar negeri. Ini bermakna bekalan ikan di Pahang adalah mencukupi, Alhamdulillah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada Rabu.
Sebelum itu, Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Tioman) meminta kerajaan Pahang menjelaskan status bekalan ikan pada masa akan datang dan apakah tindakan kerajaan dalam membantu pengusaha ternakan ikan sangkar khususnya bagi yang terkesan dengan banjir.
Mohd Soffi turut memaklumkan jumlah pengeluaran ikan bagi ketiga-tiga subsektor berlaku peningkatan kira-kira enam peratus dari sudut kuantiti dan 15 peratus dari sudut nilai berbanding tahun 2022 iaitu 129,522 tan metrik yang bernilai RM1.15 bilion.
Jelasnya, ia adalah yang tertinggi, sekali gus mengekalkan status negeri Pahang sebagai peneraju perikanan di Pantai Timur.
“Pendaratan atau pengeluaran perikanan tangkapan laut bagi 2023 menyumbang RM910 juta, akuakultur sebanyak RM354 juta dan perikanan darat adalah RM53.5 juta,” katanya.
Menjawab tindakan kerajaan dalam membantu pengusaha penternak ikan sangkar yang terjejas banjir, Mohd Soffi berkata, bantuan disalurkan melalui Jabatan Perikanan sejak tahun 2020 dengan nilai bantuan RM307,425 kepada 45 penternak.
"Pada tahun 2021, sebanyak RM463,000 disalurkan kepada 179 penternak, RM1.95 juta kepada 275 penternak (2022), RM192,470.85 kepada 42 penternak (2023) dan RM589,301 kepada 67 penternak yang terlibat kejadian bencana banjir dan El Nino pada awal 2024.
"Bantuan diberikan dalam bentuk makanan ikan bagi musim baharu penternakan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!