Sembunyi dalam ruangan sempit, tandas elak dicekup
PUCHONG - Beberapa gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) sanggup bersembunyi dalam ruangan sempit di bawah tangga, tandas, bilik simpanan minuman dan di ruang dinding pentas bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa dalam operasi dijalankan di sebuah pusat hiburan di sini pada Isnin.
Premis yang terletak di bangunan tiga tingkat itu ketika awalnya dikunci menyebabkan ia terpaksa dipecahkan.
Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 9 malam itu juga bertukar kecoh seketika apabila beberapa individu dalam premis terbabit cuba melakukan provokasi ketika pemeriksaan dijalankan.
Bagaimanapun keadaan berjaya dikawal anggota penguat kuasa yang bertugas.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi dijalankan susulan aduan awam serta risikan yang dijalankan.
Beliau berkata, serbuan diketuai Penolong Penguasa Kanan Imigresen, Johari Supardi itu melibatkan pusat hiburan yang dipercayai turut menawarkan khidmat gadis GRO warga asing.
"Seramai 66 individu terdiri daripada pelanggan dan pekerja pusat hiburan terbabit diperiksa.
"Seramai 56 wanita warga Vietnam dipercayai GRO ditahan bersama lapan lelaki Myanmar dan dua lelaki Bangladesh yang merupakan pekerja premis," katanya pada Selasa.
Katanya, kesemua mereka yang ditahan berumur 19 hingga 40 tahun dan didapati melakukan pelbagai kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63.
"Tindakan diambil melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c), Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua individu ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Selangor untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurutnya, serbuan berkenaan adalah salah satu daripada beberapa siri operasi yang dijalankan sebelum ini.
"Operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan berdasarkan aduan yang diterima dan didaftarkan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) boleh menyalurkannya kepada pihak JIM Selangor untuk tindakan lanjut diambil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!