Agrobank rangkul enam anugerah MPRA 2024
AGROBANK merangkul enam anugerah berprestij menerusi kempen dan inisiatif perhubungan awamnya dalam Majlis Anugerah Perhubungan Awam Malaysia 2024 (MPRA 2024), baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan ini oleh Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia di MPRA 2024.
“Anugerah ini memberi penghargaan kepada usaha keras dan komitmen berterusan bank dalam memperkasakan perhubungan awam serta meningkatkan kesedaran awam tentang mandat kami dalam memastikan pendekatan holistik bagi produk-produk perbankan dan perkhidmatan menerusi pelan komunikasi dan kempen-kempen perhubungan awam yang berkesan.
"Dengan kemenangan ini, Agrobank berhasrat untuk terus meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan serta komunikasi dengan pihak berkepentingan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelas beliau, pengiktirafan ini juga simbolik inisiatif Agrobank dalam mempelbagaikan saluran komunikasi bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat khususnya pelanggan mengenai manfaat yang dapat ditawarkan.
Enam anugerah yang dirangkul Agrobank adalah menerusi inisiatif dan pencapaian perhubungan awam melalui projek Inklusiviti dalam Kalangan Masyarakat menerusi Kempen Mega Million, Anugerah Pembangunan Penjenamaan Produk (B2C), Anugerah Komunikasi Syarikat melalui inisiatif Program Kesejahteraan Pekerja Agrobank Wellness at Work (W@W).
Agrobank turut menerima Anugerah Hal Ehwal Awam melalui Program Rakan Tani Muda 2023, Anugerah Komunikasi Kewangan menerusi program Agrobank Memperkasa Komuniti Tanpa Tunai melalui Inisiatif Inovasi Kewangan Penjaja Cashless, Kandungan Terbaik melalui Kempen Mega Million Raya dan Kandungan Media Sosial Terbaik menerusi Agro Pro.
Anugerah telah disampaikan kepada Ketua Pemasaran dan Komunikasi Agrobank, Intan Syazwani Isa yang turut dihadiri kakitangan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Agrobank.
Agrobank komited merangka pelan strategik serta mengukuhkan peranan pembangunannya sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dalam memacu pembangunan ekonomi sektor pertanian.
Anugerah Hal Ehwal Awam Kategori Korporat ini mengiktiraf kejayaan cemerlang dalam pembangunan, penyusunan, atau penggunaan hal ehwal awam yang paling berkesan untuk menukar dan mendapat pandangan awam.
Sementara itu, Anugerah Pembangunan Penjenamaan Produk (B2C) menitik beratkan keupayaan syarikat atau agensi untuk mencipta pengiktirafan jenama atau penggunaan barang atau perkhidmatan tersebut.
Bagi Anugerah Komunikasi Syarikat, MPRA memberi pengiktirafan melalui kemahiran dalam menyampaikan penggabungan atau pengambilalihan, pengurusan perubahan, penjenamaan semula, penstrukturan semula atau isu lain yang bersifat komunikasi dalaman.
Anugerah Komunikasi Kewangan pula diberikan kepada kempen berterusan yang paling berkesan atau projek one-off dalam sektor kewangan dan Anugerah Kandungan Terbaik mengiktiraf penggunaan kandungan yang paling kreatif dan berkesan untuk kempen atau inisiatif tersendiri, seperti penulisan iklan, grafik, video dan lain-lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!