China penyumbang pelaburan utama di Pahang
KUANTAN - China adalah penyumbang terbesar di Pahang dengan nilai pelaburan langsung asing (FDI) komited berjumlah RM14.489 bilion menerusi lima projek utama.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada 15 projek, dimeterai melalui memorandum perjanjian (MoA) dengan jumlah keseluruhan FDI sebanyak RM22.67 bilion yang direkodkan dari tahun 2022 hingga Jun 2024.
"Dalam tempoh tersebut, nilai pelaburan langsung asing komited menunjukkan peningkatan ketara daripada RM11.01 bilion pada 2022 kepada RM11.666 bilion (2023).
"Bagi tahun tahun ini, pelaburan berpotensi masih dalam peringkat rundingan dan diselia oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Su Keong Siong (DAP- Ketari) mengenai jumlah FDI yang dicatatkan oleh Kerajaan Pahang dari tahun 2022 hingga Jun lalu dan jumlah pelaburan dari China yang telah memasuki negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata, tambahan dari itu, jumlah projek FDI yang diluluskan lesen pengilang di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pula sebanyak 30.
Katanya, projek telah diluluskan dengan nilai pelaburan terkumpul RM1.32 bilion.
"Jumlah FDI berdasarkan kelulusan lesen pengilang telah meningkat RM886,072,566 (2023) berbanding hanya RM27,299,284 pada tahun 2022," jelas beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!