Pelantikan Ewon erat kerjasama GRS-PH Sabah - Hajiji

Hajiji
Hajiji
A
A
A

KOTA KINABALU - Perubahan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak akan menjejaskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) malah dijangka akan lebih erat terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tiada masalah yang akan dihadapi GRS kerana PH Sabah merupakan rakan kerjasama dalam kerajaan ketika ini.

"Tahniah kepada dia (Datuk Ewon Benedick) kerana sudah jadi pengerusi (PH Sabah) dan kita harap hubungan kerjasama dan perpaduan antara parti-parti di Sabah ini terutama PH dan GRS akan terus mantap.

"Dalam PH mereka adalah pemimpin yang kita kerjasama sebelum ini jadi kita teruskan usaha ini.

"Jadi tahniah Datuk Ewon yang mempimpin satu kumpulan atau gabungan PH dan dalam PH itu ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Amanah Negara (Amanah) jadi campur dengan GRS kita ada banyak parti jadi kita rapatkan kerjasama ini untuk kebaikan negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Transformasi Sulaman, Pelan Pemberdayaan Komuniti Nelayan Kampung Penimbawan dan Pelancaran Aplikasi dan Buku Retrack di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS sebelum itu diminta mengulas mengenai pelantikan Pengerusi PH Sabah yang baharu kini disandang Presiden UPKO bagi menggantikan Christina Liew bagi penggal 2024 hingga 2026.

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS Datuk Joniston Bangkuai menyifatkan pelantikan Ewon itu menambahkan lagi keserasian antara GRS dan PH Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah sedia tahu bahawa PH merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah dan kita berharap pemilihan beliau itu akan membantu dalam menguatkan lagi kedudukan kerajaan Sabah.

"Tetapi soal pilihan raya negeri akan datang seperti mana yang dikatakan Ketua Menteri kita akan berbincang dengan mereka. Umum mengetahui bahawa kita ingin melihat kerjasama yang sedia ada ini dalam mentadbir negeri ini GRS dan PH berterusan kerana kedua-dua pihak saya lihat agak selesa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!