Keputusan representasi gadis tekap sudu panas pada kanak-kanak 7 Januari depan

Laporan Sinar Harian berhubung kes gadis 19 tahun didakwa tekap sudu panas pada kanak-kanak di pusat penjagaan.
Laporan Sinar Harian berhubung kes gadis 19 tahun didakwa tekap sudu panas pada kanak-kanak di pusat penjagaan.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Selasa menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh baharu untuk mengetahui keputusan representasi seorang gadis yang berdepan pertuduhan melakukan penderaan membabitkan kanak-kanak di sebuah pusat jagaan yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Ogos lalu.

Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih belum menerima representasi daripada pihak pembelaan.

Peguam, Boestamam Ahmad yang menyebut kes bagi pihak peguam, Doreena Abdullah memberitahu mahkamah yang peguam berkenaan tidak sihat.

Beliau berkata, Doreena masih mewakili Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 20, untuk mengendalikan kes terbabit dan memohon lanjutan untuk menyerahkan satu lagi representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi empat pertuduhan dihadapi tertuduh.

Pada 12 September lalu, media melaporkan Puteri Nurin Amalina yang merupakan pembantu penjaga kanak-kanak didakwa atas empat pertuduhan iaitu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan mereka sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah sini sekitar bulan Ogos lalu.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!