‘Apa nasib kami’ - Penyerang import KDA FC luah kebimbangan

Milos Gordic meluahkan rasa kesedihan dan kebimbangan dalam satu hantaran di Instastory peribadinya.
Milos Gordic meluahkan rasa kesedihan dan kebimbangan dalam satu hantaran di Instastory peribadinya.
A
A
A

PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic terkesan dengan pemergian kapten kelab tersebut, Sony Norde yang bakal menyertai sebuah pasukan di negara jiran.

Pemain import dari Serbia itu turut meluahkan rasa sedihnya selepas kehilangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang turut meletakkan jawatan sebelum ini.

Menurutnya dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, kehilangan dua ‘tulang belakang’ Sang Kenari itu sangat dirasai dan dia mengakui risau dengan apa yang sedang berlaku di dalam kelab berkenaan.

“Saya berasa sangat sedih, selepas jurulatih, awak juga perlu meninggalkan kami. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku kepada kami dan kepada kelab ini. Amat sukar untuk saya menyatakan ini.

“Tetapi saya amat risau dan sedih dengan segala yang sedang berlaku. Apakah nasib kami dan berapa lama kami perlu menderita tanpa gaji?

“Saya meminta maaf kepada penyokong yang sentiasa mengikuti kami, memberi sorakan dan kasih sayang yang kami perlukan, tetapi ini adalah yang terbaik yang boleh kami berikan buat masa ini,” katanya.

Pada Isnin, KDA FC mengesahkan aksi timbal balik kedua Piala Malaysia 2024 yang menyaksikan kelab itu tewas 4-1 kepada Kuala Lumpur City pada Ahad menjadi aksi terakhir Sony bersama kelab tersebut.

Kelab dari utara itu dalam satu kenyataan berkata, pemilik, ahli lembaga pengarah dan pengurusan KDA FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sony atas segala sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang beliau bersama pasukan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kehadiran ketua pasukan itu bukan sahaja membawa impak besar di atas padang tetapi juga meninggalkan kenangan dan kesan yang amat bermakna kepada seluruh rakan sepasukan dan penyokong Sang Kenari.

KDA FC di bawah bimbingan sementara ketua jurulatih interim, Victor Andrag kini dalam persiapan bagi menghadapi aksi Liga Super bertemu Perak FC di Majlis Perbandaran Manjung pada jam 5 petang, Rabu.

Sang Kenari kini berada di tangga ke-10 Liga Super dengan 13 mata manakala Perak FC pula di tangga ketujuh dengan 17 mata selepas 14 perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!