Suami isteri direman bantu siasatan kes dera, rogol kanak-kanak 11 tahun
JAWI - Sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera dan rogol melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Aina Ahmad bermula hari ini sehingga 9 Disember terhadap suspek lelaki berusia 42 tahun dan isterinya, 44 tahun.
Reman diberikan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, polis menyelamatkan mangsa berusia 11 tahun itu di sebuah rumah teres pada Isnin selepas menerima laporan daripada ibu saudaranya.
Wanita tersebut mendakwa suspek lelaki yang merupakan bekas adik ipar kepada bapa mangsa enggan membenarkan dia melawat kanak-kanak tersebut.
Bertindak atas laporan itu, pihak polis menyelamatkan kanak-kanak tersebut sebelum mendapati ada kesan penderaan di bahagian badan dan muka mangsa selain dipercayai turut menjadi mangsa rogol kepada bapa saudaranya itu.
Mangsa kini ditempatkan di Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut manakala bapa kandung mangsa berada dalam tahanan penjara.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan tangkapan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!