PPS penuh, mangsa banjir berkhemah tepi jalan
ALOR SETAR - Beberapa keluarga yang terjejas banjir di sini mengambil keputusan mendirikan khemah di tepi jalan berhampiran Kampung Alor Senjaya sejak tiga hari lalu.
Suri rumah, Aripiah Ahmad, 55, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian berikutan kapasiti beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kediaman penuh.
Beliau berkata, terdapat PPS alternatif yang masih mampu menampung mangsa banjir namun, lokasinya terlalu jauh untuk berulang alik ke rumah.
"Kami sekeluarga pernah pergi ke tiga PPS berdekatan ketika rumah dilanda banjir sehingga paras 0.5 meter (m) pada September lepas, namun semuanya penuh.
"Kali ini, kami sudah tidak larat mencari PPS dan bimbang situasi sama berulang lalu mengambil inisiatif memasang khemah tepi jalan sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.
Aripiah berkata, mereka tiada pilihan dan terpaksa meninggalkan rumah memandangkan air naik hingga paras 0.8 meter ketika banjir melanda semula beberapa hari lepas.
Katanya, dia bersama suami dan dua anaknya sempat membawa beberapa barangan penting termasuklah pakaian selepas rumah ditenggelami air.
"Kami juga menyelamatkan dan membawa sekali kucing peliharaan untuk berteduh di bawah khemah ini," katanya.
Ujarnya, mereka berharap diberi kelonggaran untuk menumpang teduh dalam khemah di tepi jalan tersebut untuk sementara waktu.
"Apabila air surut nanti, kami empat beranak akan terus pulang ke rumah kerana sedar risiko duduk dalam khemah tersebut," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Kausar Firdaus,29, berkata, dia sekeluarga turut mengambil langkah sama dengan memasang khemah di tepi jalan disebabkan PPS terdekat telah penuh.
Menurutnya, terdapat tiga lagi keluarga yang juga jirannya memasang khemah berhampiran dengan khemah mereka.
Katanya, terdapat beberapa keluarga yang juga mangsa banjir memasang khemah di sebelah kiri dan kanan jalan di sepanjang laluan dari Kampung Titi Gajah ke Kampung Alor Senjaya itu.
"Namun, ada khemah tiada orang memandangkan ada pemiliknya keluar bekerja dan ada pulang memeriksa keadaan rumah," katanya.
Kausar berkata, ketika ini, berkhemah tepi jalan sahaja pilihan yang mereka ada meskipun keadaan khemah kurang selesa untuk berteduh daripada panas dan hujan.
Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana ada insan-insan baik hati yang memberi pelbagai bantuan termasuklah makanan kepada penduduk yang berkhemah di tepi jalan tersebut.
Berdasarkan info dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, mangsa banjir di Kedah merekodkan sedikit penurunan dengan 7,001 mangsa ditempatkan di 38 PPS setakat 12 tengah hari berbanding 7,206 mangsa di 42 PPS pada jam 8 pagi.
Untuk rekod, Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 4,172 orang daripada 1,264 keluarga diikuti Kubang Pasu dengan 1,747 mangsa daripada 548 keluarga, Pokok Sena 567 mangsa daripada167 keluarga, Padang Terap dengan 298 mangsa daripada 84 keluarga dan Sik sebanyak 217 mangsa daripada 60 keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!