4,894 kes penyakit berjangkit direkod di PPS Kelantan

Dr Zaini (kiri) turut hadir ke PPS Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung melawat mangsa banjir.
Dr Zaini (kiri) turut hadir ke PPS Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung melawat mangsa banjir.
A
A
A

TUMPAT - Kelantan merekodkan 4,894 kes penyakit berjangkit yang berlaku di beberapa pusat pemindahan banjir (PPS) di negeri ini pada gelombang pertama Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penyakit jangkitan saluran pernafasan mencatatkan kes tertinggi dengan 2,923 kes, diikuti jangkitan kulit 1,367 kes.

Selain itu, turut direkodkan kes keradangan perut dan usus (116 kes) radang mata (99 kes) dan demam virus (376 kes).

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesan kes-kes sepanjang musim tengkujuh ini yang direkodkan sehingga semalam (Isnin).

“Kebanyakan kes dilaporkan di PPS di Pasir Mas, Machang, dan Tumpat, bagaimanapun tiada penyakit serius dikesan dan keadaan keseluruhan masih terkawal,” katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Padang Pohon Tanjung di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu mengiringi lawatan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid yang mencemar duli melawat 225 mangsa banjir PPS itu.

Menurut Dr Zaini, kesemua pesakit kes penyakit berjangkit dirawat oleh pegawai kesihatan yang bertugas PPS.

“Pegawai kesihatan di PPS sentiasa bersedia untuk memeriksa mangsa banjir, terutama bagi mereka yang mempunyai gejala bagi mencegah penularan penyakit kepada individu lain,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!