[VIDEO] IKSH bantu kerajaan rangka program subsidi lebih bersasar - Armizan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangunan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) akan membantu kerajaan merangka program subsidi lebih bersasar mengikut keperluan dan perbelanjaan rakyat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, menerusi pembangunan IKSH, setiap program sedia ada mahupun program baharu dapat dirangka dan dilaksanakan dengan baik termasuk reformasi pemberian subsidi kepada golongan layak yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Armizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Armizan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

Armizan berkata, menerusi Belanjawan 2025 terdapat peruntukan tambahan RM700 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk merangka program baharu dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Dalam kita menambah baik program sedia ada dan memastikan sampai kepada golongan sasar, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM700 juta tambahan supaya mungkin ada program spesifik kepada kawasan tertentu.

"Begitu juga pembangunan Indikator Kos Sara Hidup (IKSH) untuk memastikan program ke depan ini akan menjadi lebih bersasar, melihat bukan hanya kepada keperluan asas rakyat tetapi perbelanjaan yang meliputi kehendak untuk membolehkan rakyat turut serta dalam masyarakat dengan lebih bermakna lagi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan, Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) berhubung langkah atau inisiatif alternatif yang akan dilaksanakan KPDN di samping program subsidi sedia ada untuk membantu rakyat.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sama ada langkah penyasaran subsidi diesel menyebabkan kenaikan kos sara hidup, Armizan berkata berdasarkan hasil laporan diterima mengenai pergerakan harga barang di beberapa kawasan, kenaikan kos sara hidup bukan berpunca daripada penyasaran bahan api itu sebaliknya atas faktor permintaan dan penawaran.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya ada maklum balas daripada mana-mana pihak yang dilihat kenaikan disebabkan oleh penyasaran diesel, kita harap dapat memberikan maklum balas kepada kita supaya kita boleh tangani isu itu case by case untuk memastikan ia tidak membebankan pengguna kita,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!