Suspek kelar lelaki, tikam rakan mangsa ditahan
KINABATANGAN - Lelaki yang diburu kerana mengelar leher seorang pekerja ladang sehingga mati dan menikam seorang lagi mangsa lain sehingga parah berjaya ditahan polis pada Isnin.
Suspek yang juga pekerja ladang berusia 40-an menyerahkan dirinya kepada orang awam di kawasan ladang di Telupid pada jam 5.30 petang sebelum ditahan polis kira-kira jam 8 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintenden Mohd Zulfikar Abd Salam berkata, tangkapan berjaya dibuat oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan dibantu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan anggota Balai Polis Tongod.
"Suspek sebelum ini telah melarikan diri bertindak menyerah diri kepada orang awam di kawasan ladang yang terletak kira-kira 12 kilometer dari tempat kejadian dan pasukan polis menahan suspek kira-kira tiga jam kemudian.
"Turut dirampas parang berukuran kira-kira 37 sentimeter dipercayai senjata yang digunakan bagi mengelar leher mangsa sehingga menyebabkan kematian dan juga disyaki senjata yang sama digunakan untuk menikam seorang lagi mangsa sehingga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohd Zulfikar berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Telupid untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan.
"Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit kesalahan," katanya.
Susulan kejayaan pihak polis menahan suspek tersebut, Mohd Zulfikar turut menyampaikan penghargaan terima kasih kepada masyarakat setempat yang membantu sehingga kes itu berjaya diselesaikan.
"Bagaimanapun, pihak polis juga menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes ini di media sosial yang dibimbangi akan menjejaskan siasatan pihak polis," katanya.
Sebelum itu, pada malam Jumaat lalu Christian Andi, 30-an dilaporkan maut akibat dikelar di bahagian leher dan seorang lagi mangsa, Bernadus Bagalewok, 24, dirawat di hospital akibat kecederaan parah di dada akibat ditikam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!