Pengawal keselamatan hanyut ketika memukat ikan ditemukan lemas

Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat pengawal keselamatan yang ditemukan lemas selepas hanyut ketika memukat ikan. Foto ihsan JBPM Kedah
Anggota bomba dan penyelamat mengangkat mayat pengawal keselamatan yang ditemukan lemas selepas hanyut ketika memukat ikan. Foto ihsan JBPM Kedah
A
A
A

JITRA - Seorang pengawal keselamatan, Ismail Hashim, 49, yang hanyut ketika memukat ikan di sungai tebatan banjir Kampung Paya Parit Lateh di sini, tiga hari lepas ditemukan lemas kira-kira jam 7.50 pagi Selasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, operasi pencarian mangsa diteruskan semula pada pagi Selasa selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 6.30 petang, Isnin.

Beliau memaklumkan, empat anggota keluar bersama sebuah bot aluminium kira-kira jam 7.46 pagi untuk melakukan proses pencarian di sekitar lokasi kejadian.

"Mangsa berjaya ditemui pasukan bomba empat minit kemudian dan dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB).

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.09 pagi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan sorang anak hanya mampu melihat bapanya tenggelam selepas lelaki itu dihanyutkan arus ketika memukat ikan di Sungai Kampung Paya Parit Lateh dekat sini, semalam.

Muhammad Khairul Ikhwan Ismail, 20, berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan bapanya kerana tidak tahu berenang, malah kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu berlaku dengan pantas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!