Polis langgar pelajar: Kakak Zaharif ada pengetahuan, latihan CPR

Muhd Zamrie dan Nur Zawanie hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai saksi perbicaraan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17.
Muhd Zamrie dan Nur Zawanie hadir ke Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai saksi perbicaraan Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17.
A
A
A

IPOH - Kakak kepada Muhammad Zaharif Affendi, Nur Zawanie Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa bahawa beliau mempunyai pengetahuan dan latihan dalam memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Nur Zawanie, 29, yang bekerja sebagai jururawat berkata, pengetahuan itu dipraktikkan sepanjang perkhidmatannya sebagai jururawat terlatih selama tiga tahun dan dalam tempoh lima tahun bekerja di hospital kerajaan dan swasta.

"Semasa belajar juga saya telah mendapat latihan secara rasmi. Saya bekerja di bahagian perubatan dan CPR amat diperlukan.

Mohd Nazri dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi perbicaraan kes bunuh melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima, Disember tahun lalu.
Mohd Nazri dibawa masuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi perbicaraan kes bunuh melibatkan seorang pelajar Tingkatan Lima, Disember tahun lalu.

"Wad saya juga sentiasa adakan bedside teaching (pengajaran secara klinikal di katil pesakit) untuk update knowledge (menambah pengetahuan) mengenai CPR," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz pada perbicaraan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Semasa membacakan penyataan bertulis, saksi pendakwaan ke-20 itu memaklumkan, dia memulakan CPR ke atas Zaharif selepas mendapati pelajar itu sudah tiada nadi selain keadaan anak mata telah dilated (anak mata mengembang).

Katanya, CPR ke atas Zaharif kemudiannya diambil alih oleh dua pembantu perubatan hospital yang tiba menaiki ambulans, secara bergilir-gilir selama 20 minit.

"Selepas 20 minit CPR dilakukan, pembantu perubatan hospital mengisytiharkan Zaharif no pulse. Saya juga nampak pada cardiac monitor bahawa Zaharif tiada lagi nadi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemeriksaan balas oleh Peguam M Athimulan, Nur Zawanie memberitahu tempoh CPR yang dilakukannya ke atas Zaharif adalah selama dua minit.

Athimulan: Setujukah dengan saya bahawa CPR ini adalah proses tekanan pada dada berulang kali.

Nur Zawanie: Ya, setuju.

Nur Zawanie yang merupakan anak kedua daripada empat beradik turut memberitahu mahkamah bahawa semasa kejadian telah melihat adiknya meronta-ronta sambil bangun dan baring berulang kali sebelum senyap dan mula berkelip-kelip mata, selang beberapa minit kemudian.

"Saya melihat darah mengalir keluar dari hidungnya. Saya bertindak memeriksa nadinya dan dapati nadinya makin lemah.

"Kemudian Zaharif mula merehatkan badan dan kakinya diluruskan sendiri sambil matanya memandang ke atas sebelum menutup.

"Saya terus memeriksa nadi Zaharif di bahagian leher, pergelangan tangan dan celah kangkangnya dan dapati Zaharif sudah tiada nadi," katanya.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, saksi ke-19 yang juga bapa Zaharif memaklumkan dihampiri seorang wanita yang mengaku sebagai isteri Mohd Nazri di lokasi kejadian.

Muhd Zamrie Zainal Abidin, 56, berkata, wanita itu menzahirkan maaf atas pihak Mohd Nazri sambil memaklumkan bahawa suaminya seorang panas baran.

"Beliau menyatakan "saya minta maaf pak cik, itu suami saya. Dia memang panas baran. Dia tak boleh dengar bunyi rem-rem motosikal. Saya minta maaf!"

"Mendengar kata-kata itu saya berasa amat marah, saya dan Nur Zawanie memaki beliau, namun ustaz sekolah yang berada di tempat kejadian telah meleraikan pertelingkahan tersebut," katanya.

Pesara tentera itu kelihatan tenang sepanjang prosiding perbicaraan berlangsung termasuk semasa membacakan pernyataan bertulis yang menceritakan kejadian tersebut.

"Saya berada di sisi kanan Zaharif manakala Nur Zawanie di sisi kiri. Saya menyatakan, "Ni abah ni.." sambil melihatnya meronta kesakitan.

"Kemudian saya dengar Zaharif bercakap, "Abah sakit, abah sakit! Mata tak nampak..," katanya.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan turut dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili Peguam Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Perbicaraan bersambung esok.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!