10 laluan penerbangan baharu diperkenal
PUTRAJAYA - Kerajaan memperkenalkan sembilan laluan antarabangsa baharu dan satu laluan penerbangan sewa bagi menghubungkan lima destinasi dalam negara bermula 28 November lalu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan baharu itu bagi menghubungkan Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang dengan menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih selesa dan mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
"Laluan tambahan ini akan membolehkan beberapa negeri berkongsi faedah pasaran pelancongan sambil menyediakan pelbagai pilihan perjalanan untuk memaksimumkan kemudahan yang ditawarkan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Ujar beliau, laluan ini akan dilancarkan secara progresif bermula dengan penerbangan harian terus Vietjet antara Hanoi dan Kuala Lumpur.
"Menjelang pertengahan Disember, Indigo Airlines akan membuat penampilan pertamanya di Malaysia dengan tiga laluan baharu menghubungkan Malaysia dan India.
"Ini termasuk penerbangan harian dari Bengaluru ke Kuala Lumpur dan Langkawi, serta penerbangan harian dari Chennai ke Pulau Pinang," jelas King Sing.
Menurutnya, laluan baharu lain termasuk penerbangan harian Batik Air antara Bangkok dan Johor Bahru, penerbangan tiga kali seminggu AirAsia dari Saigon ke Kota Kinabalu; penerbangan lima kali seminggu Malaysia Airlines dari Kolkata ke Kuala Lumpur; penerbangan tiga kali seminggu Shanghai Airlines dari Yuncheng ke Kuala Lumpur dan syarikat penerbangan Jiangxi dua kali seminggu dari Nanchang ke Kuala Lumpur dengan tarikh pelancaran akan diumumkan kelak.
Selain itu katanya, syarikat penerbangan Jeju Air akan memperkenalkan laluan penerbangan sewa yang menawarkan penerbangan dua kali seminggu antara Muan, Korea Selatan dan Kota Kinabalu bermula Selasa minggu depan.
"Setelah kesemua 10 laluan mula beroperasi, kita akan menambah 50 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke Malaysia.
"Ini akan meningkatkan kapasiti penumpang mingguan sebanyak lebih 7,400 sekali gus menjadikan jumlah penerbangan antarabangsa lebih 3,100 setiap minggu.
"Kapasiti penumpang akan meningkat daripada 612,423 kepada hampir 620,000 setiap minggu," katanya.
Jelas beliau, sehingga Oktober lalu, ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia telah melebihi 20.5 juta bagi tahun ini, melebihi 20.14 juta berbanding sepanjang tahun lalu.
"Berita ini pastinya menjadi peristiwa penting bagi sektor pelancongan negara ini dan saya yakin ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!