Minum jangan sampai keluar bunyi tegukan

ELAKKAH bunyi tegukan atau ‘ah’ ketika sedang minum atau selepas selesai meneguknya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
ELAKKAH bunyi tegukan atau ‘ah’ ketika sedang minum atau selepas selesai meneguknya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

BOLEH dikatakan agak kerap juga kita mendengar bunyi tegukan atau ‘ah’ ketika kita atau orang lain sedang minum atau selepas menghilangkan dahaga.

Sebaiknya, usah dibiasakan berperilaku sedemikian.

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, perbuatan itu bersalahan dengan adab dan etika yang baik ketika makan dan minum.

Antara adab dan etika yang baik ketika makan adalah menutup bibir semasa menguyah, mengelakkan bunyi ketika makan dan minum serta tidak bercakap ketika mulut penuh dengan makanan.

“Begitu jugalah halnya apabila kita sedang minum. Seorang Muslim hendaklah mengamalkan adab yang baik dan memiliki sifat-sifat terpuji agar menjadi contoh terbaik kepada agama dan umatnya.

PERBUATAN minum hingga mengeluarkan bunyi bersalahan dengan adab dan etika yang baik ketika makan serta minum. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
PERBUATAN minum hingga mengeluarkan bunyi bersalahan dengan adab dan etika yang baik ketika makan serta minum. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Jawapan ini turut dikemukakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika mereka diajukan persoalan yang hampir sama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #7380: Mengeluarkan bunyi ketika minum yang disiarkan dalam laman web Maktabah Albakri.

Artikel Berkaitan:

Mengulas tentang adab, agamawan itu menjelaskan, adab makan dan minum antara perkara yang dititikberatkan dalam syariat sehinggakan para ulama hadis mengkhususkan bab dan fasal mengenainya.

Bahkan, terdapat juga sebahagian mereka yang menulis kitab khusus untuk meriwayatkan hadis-hadis berkaitan dengannya sebagaimana dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Abu Bakr bin Abu ‘Asim An-Nabil dalam buku tertajuk Asy-Asyrubah (minuman).

“Begitu juga dengan Abu Sa’id Ad-Darimi dan Ibnu Abi ‘Asim yang menukilkannya dalam kitab mereka mengenai al-At’imah (makanan).

“Para fuqaha membahaskan adab-adab ini dalam kitab-kitab fiqh, selain memberikan penjelasan terkini dan mengkhususkan bab serta fasal untuknya.

“Malah, ada juga ulama yang menulis kitab khusus tentang hukum-hakam dan adab-adab ini,” katanya.

ADAB makan dan minum antara perkara yang dititikberatkan dalam syariat sehinggakan para ulama hadis mengkhususkan bab dan fasal mengenainya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
ADAB makan dan minum antara perkara yang dititikberatkan dalam syariat sehinggakan para ulama hadis mengkhususkan bab dan fasal mengenainya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Melihat perkara itu, ujar Dr Zulkifli, jelaslah bahawa syariat Islam begitu memberi perhatian terhadap aspek adab ini dalam Islam, selain usaha untuk melengkapkan manusia dengan sifat-sifat baik, menghiasi diri dengan etika tinggi dan menampilkan diri dalam cara yang layak dalam soal makan serta minum.

“Bahkan, prosesnya bermula dari awal hingga akhir makan dan minum, dalam usaha untuk memperoleh, memilih, mengatur dan memakannya,” ungkapnya.

Dalam soal minum, Dr Zulkifli menjelaskan, para fuqaha memandu kita supaya tidak membuat bunyi semasa meneguk minuman atau mengunyah makanan kerana ia mungkin menunjukkan kerakusan dan nafsu yang berlebihan.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu minum, hendaklah dia menyedut minumannya secara perlahan-lahan dan jangan meneguknya dengan cepat kerana penyakit pada hati berasal daripada cara minum yang cepat.” (Hadis Riwayat Ma’mar bin Rasyid, Al-Baihaqi dan Syu’ab Al-Iman)

Dalam satu riwayat lain yang dinilai daif, Baginda SAW bersabda: “Apabila kamu minum, maka minumlah sedikit demi sedikit dan apabila kamu bersiwak, maka bersiwaklah secara melintang.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Al-Baihaqi)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!