R&R Seremban pertama tampilkan konsep lestari

Dari kiri: Ismail, Sazali dan Nik Airina pada Wacana Sinar edisi 467 bertajuk 'Infrastruktur Lebuh Raya: Selesa dan Selamat!' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
Dari kiri: Ismail, Sazali dan Nik Airina pada Wacana Sinar edisi 467 bertajuk 'Infrastruktur Lebuh Raya: Selesa dan Selamat!' yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf.
A
A
A
SHAH ALAM - Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) menjadi penanda aras kepada R&R Lebuhraya PLUS yang lain apabila menampilkan konsep kelestarian serta mengutamakan keperluan pengguna.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pembangunan semula kawasan rehat tersebut merupakan salah satu perancangan yang terkandung dalam pelan induk pembangunan jangka panjang dibangunkan sejak 2023.

Menurutnya, pelan lima tahun itu turut merangkumi penambahbaikan dan menaik taraf fasiliti di kawasan rehat, hentian sebelah dan plaza tol sepanjang Lebuhraya PLUS.

“R&R Seremban ini merupakan kawasan rehat yang pertama tampil dengan konsep kelestarian. R&R ini memberikan lebih keselesaan dan ketenangan kepada pemandu ketika berhenti berehat, serta mereka dapat menggunakan keperluan seperti tandas, surau dan sebagainya dengan lebih selesa.

“Reka bentuk surau di R&R Seremban ini lebih lestari dan menggunakan konsep terbuka dengan pengudaraan semula jadi, menyediakan ruang solat yang lebih luas dan tenang untuk beribadah, tempat mengambil wuduk serta terdapat ruang solat khas untuk orang kelainan upaya (OKU).

R&R Seremban (arah selatan) menawarkan keselesaan kepada pengunjung untuk berehat dengan lebih tenang dan mesra pengguna.
R&R Seremban (arah selatan) menawarkan keselesaan kepada pengunjung untuk berehat dengan lebih tenang dan mesra pengguna.



“Banyak maklum balas yang diterima daripada pengguna kerana mereka sangat menghargai perkhidmatan dan kemudahan yang kami sediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 467 bertajuk 'Infrastruktur Lebuh Raya: Selesa dan Selamat!' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan panel lain, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun.

Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut, Nik Airina berkata, pihaknya bakal menyediakan satu stesen khas yang dinamakan Hub Pengecasan kenderaan elektrik (EV) di R&R Seremban Arah Selatan, iaitu yang pertama seumpamanya di negara ini.

“Setakat ini, kami telah menyediakan hampir 94 poin pengecasan pantas EV di sepanjang Lebuhraya PLUS dan kami ada pelan induk untuk menyedia dan meningkatkan kemudahan ini sehingga 350 poin pengecas sebelum 2030,” ujarnya.

NIK AIRINA
NIK AIRINA



Tambah Nik Airina, laluan Smart Lane turut dibuka pada waktu tertentu terutamanya ketika musim perayaan sebagai salah satu kaedah mengurangkan kesesakan dengan menambah kapasiti lorong untuk membantu kelancaran trafik.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan jadual perjalanan secara digital (MyPLUS-TTA) menerusi aplikasi PLUS yang boleh diakses dengan lebih mudah supaya pengguna dapat merancang waktu untuk memulakan pergerakan di lebuh raya terutama pada musim perayaan.

“Dari segi data dan trend yang kami analisis, didapati bahawa kalau kita dapat mengagihkan trafik, ia akan lebih baik kerana pada masa tertentu, kebanyakan kita ada waktu kegemaran untuk memulakan perjalananan.

“Selain memperkenalkan MyPLUS-TTA untuk mengagihkan trafik, kami turut mengaktifkan 21 lokasi Smart Lane di lokasi kritikal di sepanjang Lebuhraya PLUS. Ini sangat membantu bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan trafi k musim perayaan,” katanya lagi.

Jumlah kenderaan berdaftar melebihi populasi rakyat Malaysia

SHAH ALAM - Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia sebanyak 36.6 juta sudah melebihi populasi penduduk Malaysia iaitu seramai 34.1 juta.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir. Sazali Harun berkata, data berkenaan diperoleh daripada laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk maklumat mengenai jumlah kenderaan yang aktif di jalan raya iaitu 17 juta sehari.

SAZALI
SAZALI



“Jika 17 juta kenderaan dibandingkan dengan seramai 34 juta, maknanya setiap dua orang ada satu kenderaan termasuklah bayi yang baru lahir. Itu menunjukkan betapa tingginya kenderaan yang aktif di jalan raya.

“Sehingga kini, kita mempunyai 33 lebuh raya yang sedang beroperasi dengan panjang 2,128 kilometer (km), 52 hentian rehat dan rawat (R&R), 250 hentian sebelah dan 202 plaza tol. Kos penyelenggaraan lebuh raya setahun pula antara RM2 bilion ke RM26 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 467 bertajuk 'Infrastruktur Lebuh Raya: Selesa dan Selamat!' yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sazali memaklumkan, pihaknya akan sentiasa memantau kawasan R&R mengikut garis panduan dan perjanjian konsensi sedia ada.

“Kita melihat bahawa peningkatan trafik memang ketara terutamanya selepas pandemik Covid-19 iaitu antara dua ke tiga peratus tahun ini. Menerusi peningkatan ini, kita perlu sediakan perkhidmatan terbaik terutamanya di kawasan R&R.

“Dalam perjanjian konsensi memang ada (diperuntuk) supaya semua syarikat konsensi membuat penilaian kepada semua kawasan R&R, sama ada perlu di naik taraf atau apabila kapasitinya perlu dipertingkatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sazali berkata, penyelesaian kesesakan di Lebuhraya Juru dan Sungai Dua akan dilaksanakan menerusi dua kaedah iaitu pemisahan kepada laluan lebuh raya utama dan pengagihan laluan.

Ujarnya, kesesakan yang berlaku di kawasan itu berpunca daripada percampuran kenderaan dari kawasan perindustrian dengan pengguna lebuh raya menggunakan laluan berkenaan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah umumkan dalam bajet berhubung perancangan ini dan kajian sudah pun dilakukan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta skop kerja sudah mendapat persetujuan kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Buat masa ini apa yang akan berlaku adalah memisahkan lalu lintas. Contohnya yang dari Juru ke utara perlu melalui satu jalan dipanggil laluan lebuh raya utama, manakala kenderaaan yang masuk ke jalan tempatan akan masuk ke pengagihan laluan.

“Kalau untuk mudah faham, kita lihat kaedah ini telah pun dilaksanakan di Ipoh. Sekarang, kita sedang perhalusi lagi supaya kenderaan (laluan Juru dan Sungai Dua) dipisahkan dan diharapkan ia dapat mengurangkan kesesakan trafi k di kawasan itu,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!