Mahkamah AS tolak pakej gaji AS$56 bilion Elon Musk sekali lagi

Elon Musk
Elon Musk
A
A
A

WASHINGTON - Mahkamah Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengekalkan keputusannya untuk menolak pakej pampasan bos Tesla Elon Musk bernilai AS$56 bilion, meskipun mendapat sokongan daripada pemegang saham Tesla, lapor agensi berita Jerman dpa.

Hakim di Delaware mengekalkan keputusan yang dibuatnya pada Januari, iaitu Musk tidak berhak menerima pakej gaji bernilai berbilion dolar, dengan alasan Musk mempunyai pengaruh yang terlalu besar di belakang tabir ketika pelan anugerah saham dipersetujui pada 2018, menyebabkan ia tidak boleh dianggap sebagai proses yang adil.

Berdasarkan harga penutupan pada Isnin, pakej gaji itu kini bernilai AS$100 bilion ekoran peningkatan ketara dalam harga saham Tesla.

Hakim Kathaleen McCormick dari Mahkamah Chancery Delaware, sebuah mahkamah perniagaan terkemuka di AS, turut menganugerahkan bayaran AS$345 juta kepada plaintif. Mereka memohon sebanyak AS$5.6 bilion, berdasarkan prinsip undang-undang yang mengira peratusan daripada faedah (AS$56 bilion) yang akan diterima.

"Dalam kes melibatkan pampasan berlebihan, ini adalah permintaan yang berani," kata McCormick dalam penghakiman setebal 103 muka surat. Beliau berkata plaintif boleh memilih sama ada untuk menerima sebanyak AS$345 juta dalam bentuk tunai atau saham Tesla.

Pada Januari, McCormick memutuskan bahawa Musk sebagai ahli lembaga pengarah Tesla, memberikan pengaruh yang terlalu besar dari luar semasa rundingan mengenai pampasan yang lumayan itu.

Hakim berpendapat pemegang saham dibiarkan tidak mengetahui tentang penglibatan Musk, yang bermakna mereka tidak mempunyai peluang untuk membuat keputusan yang teliti, menyebabkan hakim berpihak kepada plaintif yang memohon untuk membatalkan perjanjian dengan Musk.

Pada Jun, pemegang saham Tesla sekali lagi meluluskan pakej gaji bernilai berbilion dolar untuk Musk, namun ini tidak menjamin kemenangan Musk di mahkamah. Tesla masih boleh merayu keputusan itu.

Artikel Berkaitan:

Walaupun proses undang-undang masih berterusan, Musk kekal sebagai orang terkaya di dunia.

Saham Tesla jatuh hampir 2 peratus kepada kira-kira AS$349 selepas didagangkan beberapa jam pada Isnin susulan keputusan itu. Pada awal tahun ini, semasa hakim membuat keputusan awalnya, saham tersebut berharga kurang daripada AS$200.

Baru-baru ini, saham Tesla mendapat manfaat daripada hubungan rapat Musk dengan Presiden AS yang dipilih Donald Trump, apabila pelabur menjangkakan perkembangan rangka kerja kerajaan untuk kenderaan autonomi sepenuhnya, yang berpotensi memberi kelebihan kepada perniagaan teksi robot Tesla.

Kenaikan ini membantu nilai pasaran Tesla melepasi AS$1.1 trilion. - Bernama-dpa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!