Komitmen RISDA perluas pasaran produk usahawan melalui RisSMart24

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbol perasmian RisSMart 24.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) memotong riben sebagai simbol perasmian RisSMart 24.
A
A
A

SHAH ALAM - Usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) boleh menarik nafas lega apabila agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu telah memperkenalkan inisiatif baharu platform pemasaran kepada produk keluaran mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif melalui pembukaan kedai serbaneka RisSMart24, golongan terbabit mampu menerima pendapatan signifikan melalui bantuan perniagaan dan keusahawanan.

"Usaha RISDA bukan hanya memasarkan produk yang dihasilkan usahawan, tetapi saya juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah (RISDA) agar produk yang dikeluarkan oleh usahawan daripada anak-anak syarikat di bawah KKDW dan Majlis Amanah Raya (Mara) termasuk produk usahawan Orang Asli mesti dipasarkan di RisSMart24.

"Ini menjadi tanggungjawab sosial RISDA, dan dalam pada masa sama keuntungan syarikat juga harus diberi keutamaan," katanya ketika berucap merasmikan RisSmart24 di Pusat Perniagaan UOA, di sini, pada Isnin.

Ahmad Zahid menunjukkan isyarat bagus ketika sesi lawatan premis RisSMart24 di UOA Business Park, Shah Alam.
Ahmad Zahid menunjukkan isyarat bagus ketika sesi lawatan premis RisSMart24 di UOA Business Park, Shah Alam.

RisSMart24 merupakan perniagaan sektor peruncitan yang menjadi cabang baharu perniagaan di bawah pengoperasian Kumpulan Risda Holdings.

Ia bermatlamat bukan hanya memperkasa peningkatan pendapatan melalui perniagaan, malah berpotensi untuk bersaing dengan pemain industri sedia ada di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dalam ucapannya berkata, RisSMart24 telah mula beroperasi pada September lalu dan kini telah mempunyai lima cawangan di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, sebanyak 164 produk hasil usahawan bimbingan RISDA turut menjadi barisan produk di setiap cawangan selain produk sejuk beku seperti skewer yang berasaskan daging wagyu, daging kambing serta daging lembu tempatan hasil keluaran RisSMart Butchery.

"Terdapat juga produk makanan popular yang dibawa masuk daripada Thailand dan Jepun melalui rakan strategik yang menjadi nilai tambah serta daya tarikan bagi mendapat tempat dalam kalangan pelanggan tempatan.

Manndzri (kiri) memberi penerangan ringkas mengenai RisSMart24 kepada Ahmad Zahid ketika sesi lawatan.
Manndzri (kiri) memberi penerangan ringkas mengenai RisSMart24 kepada Ahmad Zahid ketika sesi lawatan.

"Kini RisSMart24 memasarkan hampir 4,000 jenis barangan melalui lima cawangan yang telah dibuka mulai September lalu, termasuk yang berada di Pusat Perniagaan UOA," jelasnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, semua cawangan kedai serbaneka itu disokong oleh gudang penyimpanan dan pengedaran strategik yang terletak di Meru, Klang.

Justeru beliau berkata, pihaknya merancang untuk menambah enam lagi cawangan di sekitar Lembah Klang dalam masa terdekat.

"Melalui prestasi transaksi semasa yang kini mencecah kepada nilai enam angka sejak mula beroperasi, saya yakin melalui usaha dan komitmen berterusan, RisSMart24 mampu mengembangkan perniagaan di seluruh negara.

"Secara tidak langsung ia bakal merancakkan persaingan dengan pemain industri sedia ada melalui penawaran harga kompetitif, disamping membawakan produk usahawan RISDA yang menjadi satu pendekatan unik berbanding yang lain," ujarnya.

Turut hadir sama dalam majlis, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, Pengerusi RISDA Holdings, Dato Indera Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!