Wang tunai RM17,000 menanti peserta pertandingan video pendek HARA 2024
SHAH ALAM - Hadiah wang tunai bernilai RM17,000 bersama sijil penyertaan menanti peserta pertandingan video pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2024 (HARA) yang bakal berlangsung bermula 9 Disember 2024 hingga 10 Januari 2025.
Ketua Sekretariat Pertandingan Video Kreatif HARA 2024, Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan berkata, acara berkenaan dibuka kepada empat kategori iaitu guru atau murid, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), sektor awam dan umum.
"Tahun lepas hadiah pertandingan RM7,000 sahaja kerana hanya ada satu kategori tetapi tahun ini meningkat kepada RM17,000 di mana setiap kategori akan menerima RM4,000 dan sijil, manakala RM1,000 lagi untuk tontonan tertinggi.
"Pertandingan anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Rasuah Busters dengan tema 'Malaysia Bangkit, Perangi Rasuah' ini merupakan inisiatif untuk memotivasikan lebih ramai orang menyumbang video pendek yang menggambarkan mesej antirasuah.
"Dengan jumlah hadiah yang besar, diharapkan dapat menggalakkan lebih banyak kreativiti dan penyertaan daripada masyarakat terutamanya generasi muda dalam menyampaikan mesej antirasuah melalui media sosial iaitu TikTok," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Iqbal memaklumkan, peserta juga bebas untuk memilih genre atau jenis karya mengikut kreativiti masing-masing sama ada menerusi animasi, kartun, drama, cerita, sketsa atau dokumentasi.
Ujarnya, video yang dihasilkan dengan tempoh minimum tiga minit itu perlu dimuat naik ke akaun TikTok peserta berserta tanda pagar #KitaTolakRasuah #RasuahBuster #MalaysiaNegaraRahmah.
"Semua peserta perlu mengikuti akaun TikTok @ikram.my @rasuahbusters dan siar semula iklan pertandingan ini di akaun Tiktok masing-masing.
"Penghantaran video penyertaan perlu dikemukakan pada atau sebelum 10 Januari 2025, jam 11.59 malam.
"Urusetia pertandingan akan mengumumkan secara rasmi melalui e-mel dan susulan telefon kepada pemenang untuk makluman tarikh majlis penyampaian hadiah," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Perhubungan Strategik, Rasuah Busters, Wan Normi Hasan berkata, sambutan luar biasa yang diterima tahun lalu mendorong Rasuah Busters bersama rakan sinergi lain untuk membuka penyertaan lebih besar.
Tambahnya, hasil video penyertaan tahun lalu dilihat berjaya membantu orang ramai daripada pelbagai sektor dan lapisan masyarakat untuk lebih mudah memahami mesej antirasuah yang disampaikan.
"Tahun ini diteruskan lagi dan harap banyak lagi video berkualiti boleh digunakan dalam kempen antirasuah serta dikongsikan dengan hampir 600 rakan gabungan sebagai kegunaan tayangan dalam slot ceramah atau sesi bicara.
"Kepada seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai sektor, tidak kira pelajar, guru, penjawat awam atau swasta, anda dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini dan merebut peluang untuk memenangi hadiah wang tunai dan sijil penyertaan yang disediakan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!