Tak akan rasa selesa: Adly
AYER KEROH - Kerajaan negeri tidak akan mereka selesa biarpun terdapat kajian menyatakan indeks kepuasan rakyat terhadap pentadbiran PH Melaka sepanjang tahun lalu mencatat angka 61 peratus.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, angka tersebut akan dijadikan sebagai pemangkin semangat agar pihaknya bekerja lebih kuat.
"Kita tidak menolak indeks dipengaruhi pelbagai insentif diperkenalkan kerajaan negeri selepas PH mengambil alih pentadbiran seperti bas percuma serta parkir percuma Sabtu dan Ahad, tempoh lanjutan sewa tanah, penekanan pendidikan Islam dan sebagainya.
"Banyak sasaran dan insentif baharu bakal dilaksanakan tahun ini yang dijangka memberi impak berskala besar kepada rakyat mulai Februari depan termasuk program Rumah Berkat yang kini di peringkat akhir pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dataran Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Katanya, faktor lain adalah apabila kerajaan negeri boleh menyelesaikan masalah rakyat melalui aduan dan laporan diterima.
"Lebih 7,000 aduan diterima dari pelbagai kaedah dan 85 peratus aduan dan isu-isu rakyat dapat diselesaikan pada tahun lalu.
"Bakinya kira-kira 15 peratus lagi belum dapat diselesaikan dan kebanyakan melibatkan isu kewarganegaraan," katanya.
Dalam pada itu, Adly turut menggesa penjawat awam supaya menilai semula sistem kerja dan bekerja dengan sistematik, sekali gus melenyapkan sikap bertangguh agar dapat menyiapkan tugasan pada hari sama.
Jelasnya, ia harus diberikan penekanan serius supaya masa itu dapat dibahagikan dengan perkara yang bermanfaat dan seimbang untuk duniawi dan ukhrawi.
"Perkara asas yang perlu dibuat penilaian antaranya menyelesaikan kerja dalam hari sama, jika tangguh atau bawa ke rumah ia akan ganggu aspek lain.
"Perlu ada masa untuk kerja, keluarga, ibadah dan masyarakat kerana pembahagian masa untuk selesaikan kerja amat penting dan yakin masa 8 pagi hingga 5 petang cukup untuk selesaikan tugasan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!