RISDA lancar syiling Jubli Emas, simbolik penghargaan kepada pekebun kecil getah
SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melancarkan syiling peringatan sempena 50 tahun penubuhannya sebagai menghargai komuniti pekebun kecil getah seluruh negara.
Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, syiling sempena sambutan Jubli Emas agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu menjadi simbolik dalam memperingati jasa berterusan dalam menyokong pembangunan ekonomi negara melalui sektor komoditi dan komuniti getah.
"Selama lebih 50 tahun, RISDA telah memainkan peranan dalam meneraju sektor pekebun kecil getah negara selain menjadi ejen penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui pelbagai variasi bantuan, dengan fokus utama kepada program penanaman semula getah.
"Harus diakui, untuk memajukan sesebuah komuniti bukan hal yang mudah, tetapi warga RISDA akan terus komited dalam meneruskan dedikasi hasil legasi daripada warga terdahulu.
"Komuniti pekebun kecil merupakan ‘wira getah’ negara yang menjadi kebanggaan dan kami akan sentiasa barsama-sama komuniti ini demi kelestarian serta kemakmuran berterusan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian RisSMart24 dan Pelancaran Syiling Peringatan Jubli Emas Risda, di sini, pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.
Pengarah Jabatan Matawang Bank Negara Malaysia (BNM), Mohamad Zaini Ab Jabbar menjadi wakil kepada Gabenor BNM bagi menyampaikan set syiling peringatan jubli emas kepada Ahmad Zahid sebagai simbolik pelancaran tersebut.
Dalam pada itu Manndzri memaklumkan, syiling berkenaan dihasilkan dengan kerjasama BNM yang memaparkan reka bentuk visual pemerkasaan pekebun kecil melalui kepelbagaian program, inisiatif dan bantuan seperti program penanaman getah, peningkatan ekonomi serta pembangunan modal insan.
Menurutnya, sebanyak 7,000 unit telah dihasilkan BNM untuk dijual kepada orang ramai melalui laman sesawang mikro Duit@BNM di pautan https://duit.bnm.gov.my/.
RISDA ditubuhkan pada 1 Januari 1973 dan telah melalui pelbagai dasar serta polisi kerajaan dalam usaha memastikan pesertanya menerima manfaat dalam meningkatkan kehidupan melalui penanaman getah, disokong melalui pelbagai bantuan yang disediakan.
Kini lebih 500,000 pekebun kecil getah diselia oleh agensi berkenaan, sekali gus menunjukkan kepentingan komuniti itu yang menjadi ‘wira getah’ negara dalam mengeluarkan hasil getah asli melalui pelbagai inisiatif bantuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!