Padah tendang pintu, tumbuk cermin kereta

Video tular memaparkan tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta dalam satu kejadian berdekatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Video tular memaparkan tindakan seorang lelaki memecahkan cermin kereta dalam satu kejadian berdekatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki ditahan kerana melakukan perbuatan khianat menumbuk cermin kereta sehingga retak dan menendang pintu hingga kemek.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 1.41 pagi, 26 November lalu.

Beliau berkata, pengadu seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun memandu kereta jenis Proton Wira telah dihimpit oleh sebuah kereta Perodua Axia yang cuba memasuki laluan pengadu.

Kata beliau, pengadu telah membunyikan hon untuk memberi amaran pada pemandu tersebut bagi mengelak pelanggaran.

"Semasa kedua-dua kenderaan berhenti di lampu isyarat berdekatan Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, suspek telah keluar dari kenderaan terus menumbuk cermin kanan kenderaan pengadu, menendang pintu kiri hingga kemek dan menyebabkan cermin retak.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihak polis telah menahan suspek pertama berusia 35 yang merupakan seorang penganggur, manakala seorang lagi berumur 39 tahun bekerja sebagai buruh pada Ahad.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Rabu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Kuala Lumpur pada Isnin dengan cadangan tuduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, PPN Kuala Lumpur bersetuju untuk tuduh seorang suspek yang berusia 39 tahun, manakala seorang suspek lagi dijadikan saksi pendakwaan.

"Suspek berusia 39 tahun telah dituduh di Mahkamah Majistret 9 Kuala Lumpur pada Selasa serta mengaku salah ke atas pertuduhan, seterusnya dijatuhi hukuman denda RM1,000 dan membayar denda," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!