Akta 342: Pegawai kesihatan tiada kuasa tangkap, tahan pesakit

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pegawai Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai kuasa untuk menangkap dan menahan individu yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit seperti kes jenayah kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan, pegawai diberi kuasa (PDK) berkenaan hanya menahan pesakit untuk mendapatkan maklumat bagi pengesanan kes penyakit berjangkit seperti sejarah perjalanan dan kontak rapat.

Malah katanya, di bawah pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini tidak mempunyai peruntukan berkaitan mengenainya.

"Di bawah Akta 342 ini, tidak ada pun menyatakan kuasa menangkap, hanya menahan sekadar untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pesakit," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan terdapat satu peruntukan di bawah akta tersebut yang memberi kuasa kepada pegawai KKM menahan seseorang yang dituduh bersalah tanpa perlu bicara di mahkamah.

Menurutnya, tohmahan yang dilemparkan oleh pihak tertentu bahawa Akta 342 seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) merupakan suatu salah faham.

"Ini antara persepsi yang telah timbul dan ditularkan oleh pihak tertentu yang mengatakan seolah-olah kita ada menahan (tanpa dibicarakan).

"Pesakit boleh meninggalkan hospital atau mana-mana premis KKM selepas selesai siasatan pengesanan penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Kami perlu mendapatkan maklumat untuk mengetahui punca jangkitan dan perlu putuskan jangkitan ini supaya mengelakkan lagi banyak jangkitan," katanya.

PDK adalah merujuk kepada mana-mana pegawai kesihatan, pegawai kesihatan persekitaran atau pegawai yang dilantik oleh menteri di bawah Seksyen 3 Akta 342.

Mengulas mengenai pemakaian peranti, Dr Dzulkefly menegaskan ia bertujuan untuk memastikan kepatuhan arahan pengasingan, pemerhatian dan pengawasan agar penularan jangkitan dapat dicegah serta dikawal.

"Ia adalah suatu bentuk langkah yang bersifat sementara dan arahan pemakaiannya dibuat berdasarkan penilaian risiko yang teliti dan evidence-based practice.

"Selain itu pemakaiannya turut mengambil kira faktor seperti cara penularan jangkitan, kadar kebolehjangkitan dan tempoh inkubasi sesuatu penyakit," katanya.

Justeru, ujar beliau, pemakaian peranti tidak terguna pakai untuk semua jenis penyakit berjangkit dan tertakluk kepada Garis Panduan Perintah untuk Memakai atau Menggunakan Peranti Pengesanan di bawah Seksyen 15A.

"Dalam keadaan tersebut, pemakaian peranti ini tidak menyalahi perlembagaan dan hak asasi manusia," jelasnya.

Ditanya mengenai ciri-ciri peranti berkenaan, Dr Dzulkefly berkata, ia belum dimuktamadkan.

"Pada masa ini, ia masih dalam proses perbincangan. Saya katakan sekali lagi, sejurus kita dapat muktamad perkara ini, kami akan maklumkan kepada rakan-rakan media," katanya.

Pindaan Akta 342 diluluskan pada 14 Oktober lalu dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan dibahaskan 23 ahli Parlimen.

Penguatkuasaan pindaan baharu Akta 342 itu akan melibatkan beberapa aspek antaranya peruntukan yang melibatkan notifikasi untuk penyakit berjangkit termasuk kes-kes yang disyaki, pengasingan atau pengawasan orang yang dijangkiti dan orang yang disyaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!