7 lelaki ditahan disyaki terlibat kegiatan pelaburan tidak wujud
GEORGE TOWN - Polis menahan tujuh lelaki dipercayai ahli sindiket yang menjalankan kegiatan pelaburan tidak wujud secara dalam talian, dalam serbuan di Taman Sri Bayan, Bayan Lepas dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, sepasukan polis yang menjalankan Op Nuri menahan seorang daripada lelaki itu yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan berkenaan pada 10.15 malam.
"Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan perumahan sama dan menahan enam lagi lelaki.
"Polis merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan itu antaranya 162 telefon bimbit, dua komputer riba dan pelbagai peranti lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat dalang dan rangkaian sindiket terbabit manakala kesemua yang berusia 26 hingga 38 tahun itu direman hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!