Bersiap siaga hadapi gelombang kedua banjir - Fadillah

Fadillah pada sidang media selepas meninjau Bilik Gerakan Banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran pada Selasa. Foto Bernama
Fadillah pada sidang media selepas meninjau Bilik Gerakan Banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi, Jabatan Pengairan dan Saliran pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Banjir besar yang berlaku di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ketika ini berpunca daripada hujan lebat luar biasa yang berterusan lebih enam jam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hujan juga adalah dua kali ganda daripada purata hujan biasa dan ditambah dengan keadaan air pasang besar.

Menurutnya, Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167 milimeter (mm), manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm).

“Kalau kita bandingkan dengan banjir tahun ini, keadaan sungai lebih tinggi daripada tahun 2014.

“Malah kita jangkakan aliran sungai ini akan turun ke ke Pahang dan juga ke Johor, jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jalan Ampang pada Selasa.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Isnin meramalkan akan berlaku ribut petir berserta hujan lebat di Kelantan dan Terengganu bermula Selasa hingga esok.

MetMalaysia memaklumkan fenomena itu berlaku disebabkan penumpuan angin yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu ditambah dengan luruan monsun pula dijangka bermula pada 8 hingga 14 Disember ini menjadi punca hujan berterusan di timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) itu berkata, amaran langkah jaga-jaga telah diambil pihaknya termasuk memantau aliran-aliran sungai sehingga Mac 2025.

Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan negeri-negeri lain yang turut berisiko menghadapi bencana itu, Fadillah berkata, semua pasukan bencana di setiap negeri akan mengikut operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dengan pemantauan kita akan dapat membuat ramalan dan kemudian menyebarkan maklumat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kepada pihak media, dan akhirnya sampai kepada orang ramai supaya kita bersiap sedia.

“Kalau ikut jangkaan memang masih berlaku (hujan lebat) dalam seminggu, cuma jumlah hujan kita tak pasti, tapi kena berjaga-jagalah,” ujarnya.

Tambahnya sehingga kini, sebanyak 31 notis ramalan awal dikeluarkan PRABN di 11 negeri, termasuk Johor, Kelantan, dan Terengganu, manakala 27 notis hebahan amaran banjir dikeluarkan di 27 daerah melibatkan 518 kawasan banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!