Park Min-jae meninggal dunia akibat serangan jantung
AKTOR Korea Selatan, Park Min-jae yang terkenal dengan peranannya dalam 'Little Women and Mr Lee', dilaporkan meninggal dunia pada usia 32 tahun akibat serangan jantung pada 29 November lalu.
Berita duka itu dikongsikan adiknya menerusi Instagram, seperti dilaporkan Allkpop.
"Abang tersayang telah pergi buat selama-lamanya. Saya berharap agar orang ramai tetap mengingati abang saya.
"Saya harap anda semua memahami bahawa saya tidak dapat dihubungi buat sementara waktu ini," tulisnya.
Sementara itu, agensi mendiang, Big Title menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelakon berbakat itu.
"Min-jae mahu menakluki China dan bercadang berada di sana selama sebulan telah pergi selamanya. Berita ini sangat mengejutkan dan saya pasti keluarga pasti merasai kesedihan yang tidak dapat dibayangkan.
"Min-jae, masih banyak yang ingin kami katakan dan lakukan bersama-sama. Saya bersyukur menjadi wakil anda, walaupun hanya sebentar. Saya minta maaf, saya tidak akan lupa nama Park Min-jae!" tulis wakil agensi itu dalam satu kenyataan.
Difahamkan, Min-jae berada di China pada ketika itu dan mendapat serangan jantung.
Bagaimanapun mayat mendiang sudah dibawa pulang ke Korea Selatan dan kini ditempatkan di Dewan Pengebumian Hospital Seoul Universiti Ewha Womans bagi memberi peluang kepada keluarga dan rakan memberi penghormatan terakhir.
Upacara pengebumian akan berlangsung pada 4 Disember dan lokasi masih belum diputuskan.
Sepanjang kariernya, aktor itu dikenali menerusi lakonannya dalam drama Snap and Spark dan True to Love.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!