Bunuh Kolej Vokasional: Mangsa minta tolong, tahan sakit dipukul
TAWAU - Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, yang ditemukan mati di kolej itu, ada meminta tolong kerana kesakitan selepas dipukul di bilik asrama 5 Belian, pada malam 21 Mac lepas.
Saksi pendakwaan ke-13 yang juga rakan mangsa itu berkata, Mohamad Nazmie Aizzat, cuba meminta bantuan daripada pelajar lain di bilik itu, memaklumkan bahawa dia sudah tidak mampu bertahan akibat dipukul oleh tertuduh-tertuduh dalam kes itu.
"Kemudian terus tertuduh kedua cakap diam kau,” katanya saksi tersebut ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao, saksi tersebut turut memberitahu bahawa sekitar jam 11 malam, dia yang berada di bilik asrama 5 Belian menyaksikan Mohamad Nazmie Aizzat dikerumuni tertuduh pertama, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-11 serta ke-13.
"Tertuduh pertama serta ke-11 memukul mangsa, yang lain diam. Selepas lima hingga 10 minit, tertuduh kedua pula tiba,” kata saksi itu, yang menambah bahawa dia tidak melaporkan kejadian itu kerana dihalang oleh 13 tertuduh terbabit.
Saksi juga mengesahkan melihat tertuduh kedua menendang dan memijak belakang badan Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama 5 Belian.
Ng: Berapa kali tertuduh kedua tendang, pijak belakang Aizzat (Mohamad Nazmie Aizzat).
Saksi: Banyak kali.
Selain Juhn Tao, pendakwaan dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif serta Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada 13 tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye; manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian, Jhesseny P Kang dan Kusni Ambotuwo. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!