KIAR interaktif sesuai untuk pelajar sekolah
SHAH ALAM - Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) dianggap relevan diperluaskan kepada murid sekolah rendah dan menengah jika mengaplikasikan ciri interaktif yang mampu menarik minat pembelajaran.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pahang, Ali Imran Hassan berkata, ciri interaktif tersebut seperti pendekatan video kreatif, animasi, aktiviti berkumpulan dan aplikasi pembelajaran digital.
“Kita kena pandai tarik perhatian murid sekolah dengan pendekatan seperti berikut. Bukan itu sahaja, kita juga boleh terapkan situasi harian yang berlaku dan jadikan ia contoh untuk buat mereka rasa lebih dekat dengan konsep diajar.
“Ini penting untuk membentuk generasi muda supaya menjadi lebih berintegriti dan bersiap sedia apabila menempuh alam dewasa nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pelaksanaan KIAR sebagai mata pelajaran wajib bagi semua pelajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) merupakan langkah dalam mendidik generasi muda mengenai nilai integriti dan memerangi rasuah.
Katanya, KIAR merangkumi konsep asas rasuah termasuk nilai integriti, antirasuah serta salah guna dalam aktiviti seharian.
Dalam pada itu, mengulas mengenai reaksi pelajar universiti yang mempelajari kursus tersebut, Ali Imran berkata, rasa bosan adalah biasa bagi seorang pelajar tambah lagi ia merupakan subjek baharu diperkenalkan.
“Itu biasa, kalau nak kurangkan bosan kena jadikan pembelajaran menjadi lebih interaktif.
“Mungkin juga boleh cuba inisiatif realistik seperti kesan yang boleh menyentuh emosi dalam hati pelajar. Jadi, ia mampu membuatkan mereka lebih menghayati, tak bosan dan seterusnya dapat membentuk menjadi lebih berintegriti serta bencikan rasuah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!