KKR tangani segera isu jalan berlubang di Pelabuhan Klang - Nanta
SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius isu kerosakan jalan raya termasuk yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri melibatkan Jalan Persekutuan FT0180 Jalan Pelabuhan Utara-Barat Seksyen 0.00-3.00 dan FT103 Jalan Pelabuhan Klang Utara Seksyen 1.60-3.49.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah mendapatkan maklumat daripada pegawai dan dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang telah mengambil tindakan segera.
Menurut beliau, tindakan itu meliputi kerja-kerja menampal jalan berlubang dan kerosakan permukaan jalan di sambungan pengembangan disebabkan kejadian hujan lebat pada 1 Disember lalu.
"Kerja tampalan itu disenggara oleh konsesi Roadcare (M) Sdn Bhd (RCSB) di Jalan Pelabuhan Utara-Barat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, beliau menerima laporan kerosakan di Jalan Pelabuhan Klang Utara yang turut dirakamkan Azmizam kini di bawah tanggungjawab pemilik projek naik taraf Klang Container Terminal (KCT) sejak 20 Oktober 2016 dan bukan lagi di bawah penyelenggaraan konsesi RCSB.
"Saya juga dimaklumkan bahawa kerja pembaikan sambungan pengembangan telah dijalankan pada tahun 2020 manakala tindakan tampalan turut dilakukan namun berlaku kerosakan berulang.
"Pasukan JKR dan konsesi juga telah turun ke kawasan terbabit dan membuat tampalan sementara di lokasi terlibat, manakala bagi kerja tampalan sementara sudah dilaksanakan pada 25 dan 26 November lalu sebagai inisiatif segera oleh pihak JKR Klang," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan dengan tegas kepada JKR dan syarikat konsesi mengendalikan kerja penyelenggaraan untuk meningkatkan frekuensi rondaan di jalan-jalan seliaan terutamanya dalam keadaan cuaca buruk yang boleh menyebabkan pelbagai kerosakan jalan raya.
Beliau memberitahu, syarikat kontraktor yang mengendalikan projek di laluan melibatkan jalan Persekutuan juga harus mengambil tanggungjawab membaiki kerosakan jalan demi keselamatan pengguna jalan raya.
"Jangan mengambil sikap lepas tangan dan ambil mudah hingga kita tunggu isu menjadi tular baru bertindak.
"Pesanan ini sudah saya tekankan berulang kali dan saya berharap semua pihak termasuklah pasukan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya mengambil langkah lebih proaktif dalam mengawasi situasi ini.
"Saya tidak mahu lagi mendengar aduan dan berita yang melibatkan kemalangan di jalan raya rosak," tegas beliau.
Terdahulu, Azmizam dalam aplikasi TikTok meluahkan rasa kecewanya berikutan keadaan jalan rosak dan berlubang teruk di Pelabuhan Klang yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.
Azmizam memberitahu, laluan terbabit sepatutnya dibaik pulih pada Ahad berikutan laluan tersebut tidak sesak dengan kenderaan seperti hari biasa.
"JKR diminta menampal segera jalan berlubang kerana ia mengundang bahaya dan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya," kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!