TNB tutup pencawang elektrik di kawasan banjir elak kemalangan - Fadillah
PETALING JAYA - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah menutup pencawang elektrik di beberapa kawasan di negeri yang terjejas banjir sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak kemalangan berkaitan elektrik, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air berkata, tindakan itu juga bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin pada musim monsun timur laut ketika ini.
"Tapi pada masa yang sama mereka (TNB) menyediakan segala peralatan termasuk genset bagi memastikan di pusat-pusat pemindahan bekalan elektrik akan sentiasa ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat kesiapsiagaan banjir di ‘war room’ TNB di Wisma TNB di sini hari ini.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail.
Bercakap kepada Bernama selepas taklimat itu, Mahathir Nor berkata, sejak seminggu lepas, sebanyak 455 pencawang elektrik di negeri terjejas banjir di seluruh negara ditutup atas faktor keselamatan.
Beliau berkata, hingga tengah hari tadi, sebanyak 344 pencawang telah dibuka semula manakala selebihnya iaitu 111 masih ditutup.
"Pencawang yang belum dibuka kerana air masih tinggi, contohnya seperti di Rantau Panjang atau Pasir Mas di Kelantan, saya lihat sendiri ketika melakukan tinjauan air masih tinggi di kawasan itu.
"Dikhuatiri kalau pengguna terlupa untuk menutup rangkaian bekalan elektrik di dalam kediaman akan berlaku kemalangan ataupun renjatan elektrik,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas banjir supaya mengambil langkah segera menutup suis utama bekalan elektrik.
"Namun, orang ramai sekarang mempunyai kesedaran yang tinggi, kalau nampak air naik mereka akan terus menghubungi pihak TNB,” katanya.
Mahathir Nor berkata, seramai 1,977 petugas TNB di seluruh negara sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan sewaktu bencana. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!