Pemilik perlu peka pengumuman panggilan semula kenderaan untuk pemeriksaan
JELEBU - Pemilik kenderaan diminta supaya lebih peka terhadap pengumuman pemanggilan semula kenderaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan terjamin ketika di jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun bukan satu kesalahan sekiranya mereka tidak mematuhi pengumuman itu, namun pemilik perlu menanggung risiko keselamatan sekiranya kenderaan mereka mempunyai unsur membahayakan.
Beliau berkata, pengumuman pemanggilan semula untuk pemeriksaan itu sebelum ini kebiasaannya dibuat oleh syarikat pengeluar kenderaan, namun kini kerajaan menetapkan syarat supaya pengumuman terbabit dilakukan oleh JPJ.
"Kalau (pemilik) tidak menyahut panggilan JPJ (untuk pemeriksaan semula), ia risiko sendiri, bukan kesalahan ... namun mereka akan tanggung risiko keselamatan, perkara itu kita tidak mahu berlaku, sebab itu pengumuman daripada JPJ kerana pemilik akan lebih serius untuk mematuhinya.
"Kalau syarikat pengeluar yang panggil, pemilik kenderaan tidak akan mengendahkannya kerana (pengumuman) itu bukan daripada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita selepas menutup Program MyLesen Peringkat Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan JPJ memanggil semula pelbagai jenis kenderaan untuk menjalani pemeriksaan berikutan pelbagai isu teknikal yang berlaku termasuk berkaitan permasalahan pada sensor kelajuan roda menyebabkan sistem brek antikunci (ABS), traction control dan meter had laju tidak tepat.
Sementara itu, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, setakat semalam, lebih 11 juta individu memiliki JPJeID untuk mengakses aplikasi MyJPJ manakala lebih 14 juta pengguna telah memuat turun aplikasi berkenaan.
"Hingga 31 Oktober lepas, sebanyak RM222.7 juta direkodkan bagi urus niaga memperbaharu Lesen Kenderaan Motor dan Lesen Memandu Malaysia secara digital, ini menunjukkan penerimaan terhadap transformasi penyampaian secara digital sekali gus meningkatkan kecekapan pengguna dan jabatan,” katanya.
Terdahulu, Anthony berkata sebanyak 2,239 orang berjaya memiliki lesen memandu Kelas B2 (Motosikal) dan Lesen PSV (E-Hailing) di negeri ini pada tahun ini dengan 591 Orang Asli memiliki lesen memandu kelas B2.
"Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengenal pasti masyarakat Orang Asli yang layak untuk mendapatkan lesen memandu pada tahun ini termasuk di Negeri Sembilan, itu fokus kita kerana kesedaran mereka masih rendah,” katanya.
Beliau berkata, program MyLesen merupakan peluang untuk golongan B40 meningkatkan taraf hidup berikutan ia turut membolehkan individu bekerja dalam sektor yang memerlukan pengangkutan termasuk sebagai pemandu e-hailing atau pekerjaan lain yang perlu memiliki lesen memandu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!