Enam warga China dalang sindiket judi dalam talian ditahan

Zulkafli
Zulkafli
A
A
A

IPOH - Enam warga China ditahan selepas disyaki menjadi dalang satu sindiket penipuan perjudian dalam talian menerusi serbuan di sebuah rumah di Sunway City di sini pada Isnin.

Serbuan sekitar jam 2 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat bahawa kediaman tersebut yang berada dalam kawasan perumahan berpagar telah dijadikan pusat panggilan.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua suspek masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 29 hingga 34 tahun berperanan sebagai pengendali pusat panggilan, penyelia, penjaga akaun dan pegawai khidmat pelanggan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit yang mula beroperasi Oktober lepas menyasarkan mangsa dari luar negara terutama negara China.

"Sindiket ini menggunakan aplikasi Telegram dan website yang diwujudkan khas untuk promosikan iklan tambah nilai bagi perjudian berkenaan.

"Segala urusniaga pembayaran pelanggan dibuat menerusi platform pertukaran mata wang kripto USDT daripada mata wang Renminbi (RMB)," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua unit komputer riba, telefon bimbit (7), sebuah tablet dan modem Wi-Fi serta kenderaan jenis BMW.

Katanya, semua suspek telah direman selama empat hari sehingga 6 Disember ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan 420 kanun yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta sentiasa celik mata terhadap aktiviti yang dilakukan dalam kawasan perumahan berpagar supaya tidak dijadikan sarang penjenayah menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!