Mansuh UPSR, PT3: Beri ruang kukuhkan sistem pentaksiran

Fadhlina bercakap ketika sesi Penggulungan RUU Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Jabatan Penerangan
Fadhlina bercakap ketika sesi Penggulungan RUU Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Jabatan Penerangan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketetapan Kementerian Pendidikan (KPM) mengekalkan pemansuhan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah demi mengukuhkan sistem pendidikan sedia ada.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peperiksaan tidak boleh mengambil alih soal pembangunan pendidikan secara menyeluruh.

"Saya ingin berikan penegasan, yang hapuskan peperiksaan ini bukan saya, (tapi) Putrajaya. Jadi saya mengambil pendekatan bahawa apa yang ada dalam sistem kita, khususnya pentaksiran ini harus diberikan kekuatan, penegasan dan juga memperkukuhkan guru-guru kita.

"Dalam konteks pentaksiran ini, kita lihat ada satu ruang untuk kita kukuhkan, sebagai satu lagi bentuk kalau sekiranya peperiksaan ini masih lagi menjadi pertimbangan kita melihat kepada keseluruhan.

"Tetapi ingin saya tegaskan juga, peperiksaan itu tidak boleh mengambil alih soal pembangunan pendidikan kita yang melihat anak-anak kita membesar dan mendapat pendidikan holistik.

"Saya setuju bila ada soalan-soalan berkaitan sukan, penglibatan badan uniform kerana keseluruhan konteks ini sama pentingnya untuk pembangunan pendidikan," katanya ketika sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi KPM di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum ini, Fadhlina berkata, tumpuan tidak lagi diberikan kepada orientasi peperiksaan bagi mengurangkan tekanan murid, sebaliknya KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.

Ketetapan tersebut mencetuskan reaksi pelbagai pihak yang mahu ia dipertimbangkan semula mengambil kira peperiksaan penting bagi mengukur kebolehan murid.

Artikel Berkaitan:

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid Tahun 6 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diumum dimansuhkan sepenuhnya pada 2022 oleh Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!