[VIDEO] 5 rumah, 3 kedai roboh dihanyut banjir

A
A
A

TUMPAT - Sebanyak lima rumah dan tiga kedai musnah dibadai arus deras banjir serta limpahan Sungai Golok di Kelaboran di sini pada Jumaat lalu.

Kejadian melibatkan tiga kediaman dihuni penduduk, sebuah rumah tumpangan, dua kedai makan dan satu kedai runcit di Kampung Jubakar Pantai manakala satu lagi rumah pusaka penduduk di Kampung Baru Nelayan.

Seorang pemilik rumah di Jubakar Pantai, Che Kar Nik Mat, 60, berkata, ketika kejadian, dia dan 15 ahli keluarga yang lain berada di dalam rumah susulan hari sudah gelap.

Rumah tumpangan di Kampung Jubakar Pantai musnah dibadai arus deras. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Rumah tumpangan di Kampung Jubakar Pantai musnah dibadai arus deras. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Sebelum itu, katanya, pada sebelah siang, dia membantu memindahkan penduduk dan saudara-mara yang terjejas banjir menggunakan kereta jenis Proton Wira miliknya yang kemudian diletakkan di tepi rumahnya.

“Selepas Maghrib, air melintas di jalan depan rumah dan saya panggil anak-anak masukkan pasir ke dalam guni dan letakkan di pintu rumah untuk elak air masuk.

“Dalam masa tak sampai dua jam air semakin laju dan dinding rumah turut jatuh lalu saya kerah ahli keluarga keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Che Kar berkata, air seterusnya masuk ke dalam rumah dan menghanyutkan barangan serta pakaian anaknya sekeluarga yang menumpang di rumah tersebut kerana kediaman anaknya itu di Taman Sri Bayu terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

“Air deras masuk ke dalam rumah dan sebelum pihak polis datang kira-kira jam 9 malam meminta kami berpindah.

“Semasa saya pindah, bilik sahaja yang roboh dan ruang tamu ada lagi tetapi apabila datang keesokannya, kereta dah hanyut selain rumah pun roboh,” katanya

Menurut buruh binaan itu, dia sekeluarga kini menumpang di rumah seorang lagi anaknya di Geting manakala pemilik-pemilik lain ditempatkan di PPS sekitar Tumpat.

Kata Che Kar, kejadian itu pertama kali berlaku dalam tempoh 30 tahun tinggal di rumah terbabit.

“Pertama kali saya lihat air keluar dari bawah jalan dan tak sangka pula hingga merobohkan rumah saya,” katanya sebak.

Penduduk terpaksa berjalan kaki bagi memunggah air. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.
Penduduk terpaksa berjalan kaki bagi memunggah air. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Sementara itu, keadaan banjir dan kemusnahan di kawasan berkenaan menyebabkan bekalan elektrik terputus manakala penduduk pula terpaksa berjalan kaki menggunakan jalan yang runtuh di kawasan tersebut.

Seorang buruh binaan, Nawi Mamat, 62, berkata, kejadian jalan runtuh di tiga kawasan kampung terbabit berlaku pada Sabtu.

“Sekarang penduduk meletakkan papan untuk melalui jalan ini sementara waktu bagi mengangkut air atau berpindah ke PPS.

“Banjir kali ini terburuk pernah terjadi di kawasan ini dan jalan runtuh ini juga berdekatan dengan rumah saya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!