15,300 mangsa banjir terima rawatan pesakit luar
PUTRAJAYA - Seramai 15,300 mangsa banjir di seluruh negara menerima rawatan pesakit luar di pusat penempatan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Selasa.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 4,046 kes melibatkan penyakit acute respiratory infection (ARI).
Ia disusuli dengan 1,560 kes jangkitan kulit, acute gastroenteritis (AGE) (148), konjunktivitis (123), cacar air (17) dan lapan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
"Tiada kes Covid-19, tifoid dan kencing tikus dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujar KKM, secara kumulatif, 505 pesakit dialisis terlibat banjir di Terengganu dan Kelantan melibatkan 17 fasiliti KKM dan 29 swasta.
"Sebanyak 44 fasiliti tidak terjejas tetapi terputus hubungan dan dua ditutup," jelasnya.
Menurut kementerian itu, tiga pusat dialisis telah dibuka semula iaitu Pusat Hemodialisis Hudaz, Kota Bharu, Pusat Hemodialisis Paduka, Bachok dan Pusat ArRahman, Ketereh.
"Seramai 229 pesakit meneruskan rawatan dialisis di pusat dialisis asal walaupun terjejas banjir, manakala 233 pesakit dipindahkan ke pusat hemodialisis lain dan 43 pesakit dimasukkan ke hospital.
"319 pesakit telah discaj dan sudah kembali ke pusat dialisis asal serta tiada pesakit terkandas dalam mendapatkan rawatan dialisis," katanya.
Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat peningkatan 109 fasiliti kesihatan terjejas banjir berbanding 106 pada Isnin di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ia melibatkan 53 klinik desa, klinik kesihatan (30), klinik pergigian (18), pejabat kesihatan daerah (empat), tiga hospital dan sebuah pintu masuk antarabangsa.
"Sebanyak 48 fasiliti kesihatan beroperasi, manakala 53 berpindah perkhidmatan kesihatan ke fasiliti alternatif dan lapan lagi tidak beroperasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!