Sebanyak 529 aduan diterima IPCC setakat 22 November - Saifuddin

Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perasmian IPFC (IPCC), Police, Friends and Collaborators) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Selasa. Foto Bernama
Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Perasmian IPFC (IPCC), Police, Friends and Collaborators) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 529 aduan telah diterima Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sehingga 22 November, sejak Akta IPCC 2022 (Akta 839) dikuatkuasakan pada 1 Julai tahun lepas, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, ia merangkumi kes berkaitan jenayah yang dirujuk kepada kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes rasuah disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala kes tatakelakuan pula akan disiasat oleh IPCC.

Saifuddin berkata, daripada jumlah itu, 140 kes merupakan aduan tertunggak sebelum akta berkenaan dikuatkuasakan.

"Aduan ini turut terdiri daripada aduan berulang iaitu pengadu sudah membuat aduan tetapi merasakan tiada tindakan. Jadi mereka sekali lagi membuat aduan itu dan ada juga aduan bersifat remeh yang misalnya berkait masalah persengketaan peribadi dengan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC) di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat,Tan Sri Johari Abdul; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

IPFC ialah program di bawah Pelan Strategik IPCC yang berobjektif untuk membantu memantau tatakelakuan anggota polis, melindungi hak asasi orang awam dan PDRM, selain bagi memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan dan keberkesanan IPCC.

Pada masa sama IPFC juga menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui sesi libat urus, perkongsian kepakaran, pameran, sesi meja bulat, dialog dan sebagainya bagi meningkatkan standard kepolisan agar rakyat meletakkan kepercayaan sepenuh hati kepada PDRM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, sejak dikuatkuasakan, IPCC telah mengadakan 195 lawatan berjadual ke fasiliti PDRM, termasuk ke enam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

"IPCC juga telah menggubal prosedur operasi standard (SOP) untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan serta sedang menyediakan peraturan di bawah Seksyen 46 Akta 839 untuk mentafsirkan kuasa menteri.

"Suruhanjaya itu juga bukan sahaja berfungsi sebagai mekanisme menerima dan menyiasat aduan, tetapi juga untuk mencadangkan penambahbaikan kepada PDRM, memastikan kebajikan anggota polis dan membina kepercayaan rakyat terhadap pasukan penguat kuasa negara.

"Bagi tujuan itu IPCC juga telah membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEACS) untuk mengurus aduan dengan lebih cekap. Sistem ini membantu dalam menyelaraskan siasatan dan pengumpulan maklumat,” katanya.

IPCC merupakan Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta 839 dan diwartakan pada 18 Oktober 2022 dengan menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis dari aspek siasatan aduan berkaitan salah laku. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!