Jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 72,620 orang
KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus menurun kepada 72,620 setakat 4 petang ini berbanding 94,636 orang pada pagi tadi.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di enam jajahan di negeri itu terus mencatat penurunan kepada 44,925 orang di 98 PPS membabitkan 14,283 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 57,790 orang pagi tadi.
Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 22,691 orang diikuti Tumpat (20,922), Kota Bharu (413), Pasir Puteh (68), Bachok (776) dan Tanah Merah (55).
Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan hanya dua sungai utama di Kelantan kekal melepasi paras bahaya namun dalam trend menurun iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (10.04 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (3.86 meter).
Situasi banjir di TERENGGANU juga semakin baik apabila jumlah mangsa di lapan daerah menurun kepada 18,935 orang di 77 PPS berbanding 25,097 orang pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan daerah Dungun masih mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 6,926 orang, Kuala Nerus (6,678), Kuala Terengganu (3,253), Besut (865), Hulu Terengganu (497), Marang (416), Setiu (217), Kemaman (83).
Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran di laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, menyatakan paras air sungai di dua stesen iaitu Sungai Nerus di Kampung Jeram dan Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus melepasi paras bahaya.
Di PAHANG, banjir yang melanda Raub, Lipis dan Jerantut pulih selepas semua PPS di daerah berkenaan ditutup bermula 12 tengah hari hingga 2 petang.
Bagaimanapun, menurut rekod aplikasi InfoBencana JKM, satu PPS di Temerloh iaitu Surau Kampung Lompat baharu dibuka petang ini bagi menempatkan empat sekeluarga selepas kediaman mereka dilanda banjir.
Sementara itu, di KEDAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada 6,871 orang daripada 2,077 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 7,206 orang daripada 2,185 keluarga pagi tadi dan kesemua mangsa di lima daerah itu ditempatkan di 33 PPS.
Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar masih mencatatkan jumlah tertinggi seramai 4,312 orang diikuti Kubang Pasu (1,659), Pokok Sena (547), Sik (203) dan Padang Terap (150).
Jumlah mangsa banjir di JOHOR pula sedikit meningkat kepada 1,098 orang daripada 312 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 1,056 orang pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan tiga lagi PPS telah dibuka iaitu Surau Al-Muhtadeen Kampung Kenangan, Surau Bukit Senggir dan Bangunan Syarikat Paduan Kampung Chodan di Segamat, menjadikan sebanyak 22 PPS diaktifkan.
Beliau berkata, hanya dua sungai yang dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu stesen Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat; dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma'amor, Tangkak.
Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir sedikit berkurangan kepada 615 orang daripada 194 keluarga di sembilan PPS berbanding 618 mangsa pagi tadi.
Menurut sekretariat itu, seramai 378 mangsa berada di daerah Kinta, 15 mangsa di daerah Larut, Matang dan Selama, 89 orang di Hilir Perak, Kampar (69) dan Perak Tengah (64).
Sekretariat berkenaan turut memaklumkan bahawa paras air Sungai Kinta di Kampung Permatang Pelanduk telah melimpah berhampiran penempatan penduduk di kampung terbabit di daerah Perak Tengah, namun keadaan masih terkawal.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di kesemua daerah di Perak pada malam ini.
Mangsa banjir di MELAKA pula sedikit meningkat kepada 172 mangsa daripada 44 keluarga pada 4 petang ini berbanding 161 mangsa daripada 42 keluarga pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS iaitu SK Parit Penghulu yang dihuni 106 mangsa daripada 26 keluarga manakala 66 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat.
Di PERLIS, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud memaklumkan banjir di negeri itu pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir di Sekolah Kebangsaan (SK) Arau yang menempatkan 43 mangsa ditutup pada 2.30 petang tadi.
Sementara itu, menurut polis, sembilan nyawa terkorban akibat bencana musim tengkujuh setakat ini dengan lima daripadanya di Kelantan dan empat lagi di Terengganu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!