Polis buru dua lelaki curi motosikal
JOHOR BAHRU - Polis memburu dua lelaki yang disyaki mencuri motosikal milik lelaki warga Singapura di kawasan parkir Hotel Amari, Jalan Trus di bandar raya ini pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima video kejadian yang tular pada jam 9 pagi Selasa memaparkan kejadian curi motosikal oleh dua individu di kawasan parkir berkenaan.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4.44 pagi Isnin dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Sentral jam 4.47 petang hari yang sama.
“Mangsa yang merupakan seorang warga Singapura berusia 23 tahun dan bekerja sebagai pengurus pengacara majlis, mengadu motosikal jenis Yamaha 125ZR warna hitam miliknya hilang di tempat letak motosikal hotel tersebut.
“Akibat kehilangan motosikal itu mangsa difahamkan mengalami kerugian kira-kira RM75,000," katanya.
Tambah Raub, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan mendapati dua suspek telah memasuki kawasan parkir motosikal menggunakan sebuah motosikal Yamaha 125ZR warna biru.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline 07-2182323 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!